Peranan PAS dalam memperkukuh perpaduan

- Advertisement -

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja terus bertahan lebih 8 bulan hari ini tetapi ia juga terus teguh dan kukuh setelah berjaya melepasi cabaran meluluskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Blok pembangkang terus menggigit jari dan dengan pencapaian besar ini Kerajaan PN dijangka bertahan sehinggalah mandat dikembalikan pada rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Walaupun tampak teguh tetapi ramai penganalisa menganggap permuafakatan di dalam parti-parti yang mempertahankan Kerajaan PN ini terus rapuh. 

- Advertisement -

Atas sebab yang tidak dapat dielakkan Kerajaan PN ini hakikatnya didukung dua blok iaitu BN di satu pihak yang diwakili Umno, MCA dan MIC dan PN di pihak yang lain yang terdiri dari BERSATU, PAS dan beberapa parti lain di Borneo.

Dalam keadaan demikian kerajaan ini tetap dipertahankan meski berhadapan dengan pelbagai cabaran dalaman, yang kadangkala panas namun terus diurus secara matang dan berlapang dada sehingga memungkinkan ianya kekal bertahan ke hari ini.

Yang uniknya adalah peranan PAS. Bersama Umno iaitu komponen BN, PAS awal-awal lagi telah menjalin permuafakatan yang diberi nama Muafakat Nasional (MN) yang menekankan usaha menyatupadukan umat Melayu Islam. Kedua parti Melayu Islam terbesar dan tertua dalam negara ini telah bersama memeterai Piagam MN yang mengikat agenda bersama sejak setahun lalu.

Melalui MN seluruh jentera kedua parti telah menjalinkan hubungan dan menyusun gerak-kerja dan aktiviti dari peringkat tertinggi sehinggalah ke peringkat cawangan-cawangan seluruh negara. 

Setelah setahun lebih menjalin permuafakatan PAS dan Umno hari ini sudah mengenepikan segala perbalahan dan perbezaan lebih 6 dekad lalu, hari ini kedua bekas musuh cukup mesra, bersetia dan mendukung kesatuan demi masa depan ummah.

Dalam pada itu PAS juga merupakan komponen PN yang berdaftar dan bergabung dengan BERSATU, STAR Sabah dan SAPP. Ia digerakkan bermula Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini dan kekal sehingga hari ini.

Kerana itu bagi sesetengah pihak ada yang menganggap dan melihat PAS kononnya bermain ‘dua kolam’. PAS kononnya seakan mahu menangguk keuntungan dari kedua belah pihak tanpa pendirian dan prinsip yang teguh. Benarkah begitu?

Bagi musuh yang tidak pernah senang malah dengki pada kemajuan dan pencapaian politik PAS sudah pasti akan mengeksploitasi kedudukan ini tanpa memberikan gambaran yang sebenar. Bagi mereka apa sahaja yang boleh di‘spin’ untuk memusnahkan PAS akan dilakukan.

PAS bukanlah parti setahun jagung dalam persada politik negara. PAS dengan lebih 60 tahun pengalaman mengharungi pasang-surut politik tanah air, telah melalui pelbagai bentuk transformasi dan penambah-baikan untuk menjadikan ia parti yang kekal relevan dalam negara. Ia kekal istiqamah mendukung dan mendaulatkan prinsip dan cita-cita perjuangannya yang tidak pernah berubah atau dikompromi.

Sesungguhnya pengalaman politik yang luas serta padat menyedar dan mengajar PAS untuk berani bangkit ke hadapan bagi memastikan Islam menjadi teraju penyatuan dan perpaduan ummah dalam negara setiap masa dan ketika. 

Umat Melayu Islam yang diwakili majoriti penduduk di tanah air jangan lagi berpecah, bersengketa sesama sendiri sehingga akibatnya menggadaikan nasib dan masa depan ummah dan meletakkan Islam di jurang bahaya.

Pengalaman PRU ke-14 tahun 2018 menjadi pengajaran dan iktibar cukup besar buat PAS. Kegagalan meneroka jalan perpaduan telah mengakibatkan perpecahan besar sehingga akhirnya menghakis kekuatan politik Melayu Islam dalam negara, maka bangkitlah golongan minoriti ke puncak kuasa atas kealpaan dan kelekaan ummah. Mereka telah mendominasi kerajaan sehingga menyesakkan nafas dan nyawa umat Melayu Islam. Rupanya kaduk benar-benar berupaya naik junjung bila sesama umat enggan bersatu. 

Belajar dari pengalaman ngeri PRU ke-14 lah maka PAS membuka langkah mengambil inisiatif serius ke arah gerakan ‘consolidation of Malay political power’ atau penyatuan kuasa politik umat Melayu yang telah mengecil dan terhakis apabila tidak lagi dominan dalam kerajaan.

Islam PAS angkat sebagai kunci perpaduan buat penyatuan ini yang selama ini hilang dari perhatian dan keutamaan berpolitik umat Melayu. PAS terjun menyambut tangan Umno pasca PRU14, mengajak dilupa dan dihapuskan sengketa yang lampau kerana survival umat berada di persimpangan. 

Lantas terjalinlah Muafakat Nasional atas iltizam mengembalikan kuasa politik umat Melayu yang telah kendur pasca PRU itu. Beberapa siri Pilihan Raya Kecil selepas itu membuktikan muafakat ini cukup berpengaruh dan disenangi rakyat.

Takdir Allah S.W.T dalam gigih PAS dan Umno membina kekuatan baru, Kerajaan PH pula jatuh roboh apabila PM ke-7 letak jawatan dan BERSATU serta beberapa pimpinan PKR keluar meninggalkan gabungan politik PH yang berkuasa sejak PRU14.

Sekali lagi PAS melonjak menyambut pula tangan Tan Sri Muhyiddin Yassin, PM ke-8 untuk bersama mendukung dan membentuk kerajaan baru atas nama PN bersama BN dan parti-parti lain. Mengapa PAS berbuat demikian, kerana menganggap inilah peluang baik menobat dan mendaulatkan Islam, bersama membina kekuatan baru umat Islam agar mampu memimpin negara termasuk masyarakat majmuk di dalamnya.

Semua pihak harus sedar bahawa keutamaan PAS adalah meletakkan Islam sebagai teraju dan kekuatan yang memimpin perpaduan dan penyatuan ummah. PAS berkawan dan menjalin MN bersama Umno atas sebab ini dan demikian juga kini melibatkan diri dalam PN juga bagi maksud yang sama.

PAS bukan mahu bermain di ‘dua kolam’ atau memperalatkan perpecahan dengan menangguk di air keruh sebagaimana tohmahan dan mainan musuh tetapi sebaliknya PAS mengambil langkah-langkah proaktif ini semata-mata untuk menjadikan dirinya ‘jambatan’ yang boleh menghubungkan kuasa politik tadi agar menjadi satu gagasan yang besar sehingga PRU ke-15, agar Islam terus memegang tampuk kuasa, dan segala ancaman dan cabaran terhadapnya tidak lagi mampu berulang.

Dengan cita-cita bersendikan aqidah Islamiyah ini PAS pasti tidak akan melepaskan keakraban hubungannya dengan Umno jika hubungan tadi boleh membawa kepada perpaduan ummah yang sebenar. 

Demikian juga PAS akan terus menjalin hubungan dengan BERSATU kerana tidak rela membiarkan kekuatan politik umat Melayu ini berselerak dan berpecah lagi sehingga menguntungkan musuh.

Tuan Guru Presiden PAS pernah menyebut: “Hari ini kita berjaya dalam usaha Wahdah Ummah bersama Islam, maka pertahankan perpaduan ini dengan penuh kesabaran dalam menghadapi masalah dalaman umat dengan meneguhkan titik persamaan dan bertoleransi dalam perbezaan.”

Masa depan Malaysia terletak pada penyatuan ummah berteraskan Islam yang akan membawa keadilan kepada semua, kesejahteraan pada rakyat dan negara dan keamanan yang berpanjangan. Bersatulah umat Melayu Islam, agar terbina Malaysia baru yang diberkati Allah S.W.T.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 24/12/2020

- Advertisement -