Vaksin adalah imunisasi untuk pencegahan penyakit

- Advertisement -

BANYAK kali dah kita sebut bahawa imunisasi itu adalah mencegah. Konsep pencegahan itu telah diketahui umum dan bertujuan bagi melindungi kita dari dijangkiti kuman merbahaya secara khusus. Kena faham dan jangan keliru.

Kalau sudah pakai tali keledar, tidak bermakna kita tidak mati atau cedera akibat kemalangan? Sudah tentu ikhtiar lain wajib dilakukan bagi mengelakkan berlaku kemalangan. Antaranya kita ikut peraturan jalan raya, memandu secara berhemah dan janganlah merempit. Bahkan kalau kita jenis taat peraturan sekalipun, risiko tetap ada. Mungkin kita pula dilanggar oleh orang lain yang anti-topi keledar atau anti-akta jalan raya.

- Advertisement -

Takkan-lah juga apabila kita pakai topi keledar, kita boleh langgar sesuka hati bonet lori? Begitulah juga dengan apa-apa penyakit berjangkit khususnya COVID-19 sekarang. Walaupun terdapat vaksin nanti, kita tetap perlu menjaga SOP yang ditetapkan. Kecualilah terdapat satu kajian baharu, andai sekiranya sudah divaksinkan, kita bebas tanpa pakai mask di tempat padat dan sebagainya. Semuanya itu perlu dibuktikan melalui sains.

Vaksin adalah ikhtiar yang juga bukan bahan magik, hari ini cucuk esok terus kebal. Tidak. Kita tidak pernah pun kata vaksin itu 100 peratus. Tetapi keberkesanan dan keselamatan yang optima bagi menghindarkan diri kita dari dijangkiti amat penting. Oleh itu kajian dan pemantauan berterusan perlu dilakukan. Jika terkena juga, semua itu urusan Allah jua. Kita tak boleh nafikan qadak dan qadar Allah. 

Kenyataan terbaharu hari yang mengatakan vaksin COVID-19 tidak boleh menghentikan kematian ribuan rakyatnya pada musim pandemik ini sehingga beberapa bulan mendatang. Saya setuju. Jika kita lihat kepada kes positif di US sudah melebihi 18.8 juta dan kadar kematian adalah 1.8 peratus. Lihat pula kes yang masih di dalam rawatan kritikal, lebih 28 ribu. Potensi untuk ramai lagi mati sebulan dua lagi adalah tinggi.

Oleh yang demikian, vaksin hadir bagi satu kaedah ikhtiar untuk mengelakkan rakyat yang masih hidup untuk dilindungi dari serangan wabak COVID-19. Semoga kita tidak lagi keliru dengan tohmahan dari antivaksin.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 23/12/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -