Cermin kemampuan wanita mengukuhkan negara

Kenaikan pangkat wanita sebagai Laksamana Pertama dalam TLDM

- Advertisement -


- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenaikan pangkat pegawai kanan wanita Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Kpt Rohana Jupri sebagai Laksamana Pertama mencerminkan kemampuan kaum hawa dalam mengukuhkan kerajaan.

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh bahkan menyifatkan ia menunjukkan betapa sumbangan golongan wanita kepada negara dihargai, sekali gus menjadi motivasi kepada wanita lain secara umumnya.

Bahkan menurut beliau, apabila baik wanita maka baik jugalah negara di mana kini pencapaian kaum wanita dalam sumbangan kepada negara pada banyak aspek semakin meningkat dan berperanan penting.

Rohana, 57, melakar sejarah pegawai kanan wanita pertama dinaikkan pangkat dalam satu majlis disempurnakan Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany di KD Sri Gombak, Jalan Padang Tembak, di sini semalam.

Pemilihan Rohana juga disifatkan Mohd Reza sebagai bukti kemampuan serta kredibiliti wanita hingga diiktiraf pengurusan tertinggi TLDM, selain sebagai tanda penghargaan terhadap usaha dan kemampuannya.

Katanya, sepanjang penubuhan TLDM sejak 86 tahun lepas, tidak ada seorang wanita pun pernah dinaikkan ke pangkat berkenaan dan ini merupakan satu pencapaian wanita yang telah berkhidmat selama 36 tahun itu.

Rohana memegang jawatan Pengarah Kanan Materiel di markas TLDM dan juga Asisten Ketua Staf (AKS) J4 (Logistik) di Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) itu merupakan ibu kepada empat anak dan berasal dari Tanjong Karang.

“Secara tidak langsung meletakkan dirinya berdiri sama tinggi bersama barisan tertinggi kumpulan Jawatankuasa Laksamana (JLAKS) yang sebelum ini dipelopori lelaki,” tambah Mohd Reza sebagaimana dilapor Bernama.

Rohana mula menyertai TLDM pada 20 Disember 1984 ditauliah sebagai Leftenan Muda TLDM Cawangan Bekalan dan Urusetia pada 6 Disember 1986.

Kerjaya beliau sebagai seorang pegawai berkepakaran Bekalan dan Urusetia bermula pada 1988 dengan jawatan pertama sebagai Pegawai Kawalan Rumah Stor di Depot Besar Bekalan TLDM.

Rohana telah memegang beberapa jawatan penting antaranya Pegawai Memerintah KD Sultan Abdul Aziz Shah; Pegawai Staf 1 Hal Ehwal Wanita Angkatan Tentera Malaysia dan Pegawai Memerintah Depot Bantuan Barat.

Beliau turut bertanggungjawab terhadap keperluan perolehan aset-aset penting dalam menentukan Op Benteng dapat dilaksana dengan lebih efisien.

Sementara itu, Rohana berkata selama beliau berkhidmat dalam TLDM ini merupakan satu pengiktirafan besar buat dirinya.

“Saya harap ada ramai lagi calon wanita dapat ikut jejak langkah saya. Ruang sememangya tersedia buat wanita dalam TLDM ini untuk berkembang,” katanya.

Ustazah Nuridah dalam pada itu mendoakan agar Rohana terus cemerlang dan sabar memikul tanggungjawab baharunya dengan berkhidmat demi agama dan negara yang moga menjadi amal soleh membahagiakan kehidupan dunia dan akhiratnya.

“Syukur kepada Allah atas nikmat kekuatan, kesungguhan, keupayaan dan kecemerlangan yang diberi kepada Laksamana Pertama Rohana selama bertugas. Tahniah dan syabas atas kenaikan pangkat ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/12/2020

- Advertisement -