Penanaman Cacar rintis pengenalan vaksin

- Advertisement -

‘APAKAH pengikut Muhammad nak mengajar Kristian?’ Itulah kata-kata antagonis yang pernah dikeluarkan terhadap Lady Mary Montagu, isteri kepada Duta British di Istanbul Turkey. Surat masyhur beliau (1717) kepada Kerabat Diraja British agar menggunakan kaedah penanaman Cacar (Variolasi Smallpox) untuk mencegah anak-anak serta rakyat British yang pada ketika itu bergelut dengan wabak Cacar.

Hasil dari pengalaman beliau sendiri yang memberikan penanaman Cacar kepada anaknya dan orang gaji, berjaya membuka mata Barat yang pada ketika itu berada di zaman malap. Kejayaan Kerajaan Islam yang berpusat di Istanbul mencegah wabak penyakit Cacar menjadi titik tolak kepada pembaharuan kaedah vaksin pada masa sekarang.

- Advertisement -

Namun penentangan tetap berlaku sepanjang zaman. Kutukan, ejekan, demonstrasi dan pelbagai lagi kaedah penolakan dari masyarakat tetap berlaku. Itulah lumrah kehidupan manusia kerana ilmu perubatan itu bukannya mutlak, ianya dinamik dan senantiasa berubah mengikut peredaran zaman yang merujuk kepada penemuan sains.

Kaedah variolasi yang digunakan oleh Lady Mary Montagu itu dikaji lagi secara mendalam oleh Edward Jenner. Sejarah gemilang hasil kajian beliau ke atas seorang kanak-kanak berumur 8 tahun, James Phipps, menggantikan variolasi awal menggunakan kuman Cacar dari manusia kepada nanah Cacar-lembu (Cowpox). Kaedah ini lebih selamat kerana Cowpox tidak menyebabkan kesan sampingan serius, tetapi bertindak lebih baik dari kaedah awal Lady Mary untuk mencegah Cacar.

Hasil kajian itu, tidak ada seorang pun kematian berlaku akibat vaksin mahupun dijangkiti Cacar. Manakala subjek kawalan kajian yang tidak diberikan vaksin 71 peratus dari mereka dijangkiti Cacar dan mati. 

Tetapi golongan yang menentang usaha itu tetap tidak mahu menerima hakikat kejayaan yang terpampang depan mata. Mereka mengambil hujah masih lagi terdapat 29 peratus yang selamat dari kematian jika tidak diberikan vaksin sekalipun. Selain itu isu penentangan agama dimainkan, kesan sampingan yang wujud juga diputar-putar dan pelbagai lagi alasan antagonis dilaungkan. Memang hebat cabaran yang diterima oleh doktor dan kerajaan pada masa itu. 

Inilah hakikat perjuangan dalam kehidupan. Para doktor berusaha dan berikhtiar sekadar mampu sesuai dengan peredaran zaman, tetapi para penentang tetap wujud. Itulah manusia.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 14/12/2020

Rujukan:
(1) Steven King. Coronavirus vaccine: lessons from the 19th-century smallpox anti-vaxxer movement. The Conversation; 2020. 
(2) Thomas Hager. How One Daring Woman Introduced the Idea of Smallpox Inoculation to England. The Time; 2019.

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -