Kembalikan keyakinan pengguna daging import

Kekang dan lumpuhkan rangkaian kartel dari pintu sempadan negara lagi

- Advertisement -

TINDAKAN kementerian dan agensi-agensi dalam kes kartel daging import haram yang dilaporkan di Johor minggu lalu diharap menangani keseluruhan rangkaian kecurangan berkaitan. Bukan kali pertama isu seumpama terjadi, namun usaha pihak berkuasa mengekangnya sejak di pintu masuk negara sememangnya dihargai.

Namun, keraguan para pengguna mesti segera direda dan dijernihkan kerana wujud kekhuatiran terdapat daging import haram telah berlegar di pasaran angkara bolos oleh teknik licik pihak yang hanya mahu mengaut keuntungan. Pemeriksaan agresif menyeluruh dan teliti mesti dilakukan serta diumumkan.

- Advertisement -

Kepercayaan awam terhadap barang keperluan harian ini di pasaran negara mestilah diberi jaminan dalam semua aspek. Lebih-lebih lagi kes sebegini amat sensitif dan melibatkan juga persepsi integriti terhadap pihak berkuasa. Tambahan di era COVID-19 ini pula menjadikan ia lebih mengundang tragedi.

Pengedar dan penjual boleh terkena tempias kerana diragui yang merisikokan kerugian berganda dalam rantaian kesannya atas kemungkinan protes pengguna memboikot secara tidak langsung atau memilih alternatif lain. Tentulah ini tidak sihat buat pihak-pihak yang terlibat dalam kitaran semua ini.

Kerajaan juga diminta meminda akta berkaitan untuk mengadakan hukuman lebih berat kepada pihak terbabit yang nyata telah bertindak khianat demi meraih kekayaan segera. Pihak yang didapati bersalah mesti disenaraihitamkan agar tidak terlibat dalam sektor melibatkan kepenggunaan penduduk di negara ini.

Kami juga berpandangan permintaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk menambah anggota di semua pintu masuk negara wajar diberi keutamaan. Timbalan Ketua Pengarah MAQIS, Dr Azhari Sharidah Abu Bakar menyatakan mereka hanya ada 467 anggota untuk mengawal 57 pintu masuk di Semenanjung Malaysia.

Di Pelabuhan Klang sahaja hanya terdapat 24 anggota MAQIS ditugaskan untuk menjalankan pemeriksaan secara manual terhadap 400 kontena sehari yang jelas jumlah ini tidak mencukupi. Itupun pintu masuk di Sabah dan Sarawak pula terpaksa dikendalikan bawah agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan.

Berikutan produk terbabit diklasifikasikan sebagai barangan berisiko tinggi kerana produk terbabit hanya boleh diimport dari loji pemprosesan yang mendapat kelulusan JPV dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), maka penambahan anggota MAQIS itu sememangnya wajar. Sekali gus diharap kartel penipuan label halal, pemalsuan cap serta pembungkusan semula daging sejuk beku import untuk dijual semula ke pasaran negara dapat dibanteras.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”
“Memimpin Negara”

IR TS HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 14/12/2020

- Advertisement -