KPT mantapkan lagi 2u2i di universiti awam

- Advertisement -

DALAM sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi, saya telah menjelaskan langkah yang telah diambil oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memantapkan lagi pelaksanaan Program Dua Tahun Universiti dan Dua Tahun Industri (2u2i) bagi mempersiapkan graduan ke pasaran pekerjaan.

Sehingga kini, terdapat 83 program akademik mod 2u2i yang telah diluluskan di peringkat Jabatan Pendidikan Tinggi untuk ditawarkan di Universiti Awam (UA).

- Advertisement -

5 strategi baharu telah digerak seperti:

(1) Menyerap masuk elemen dengan izin ‘cloud computing’ dan sains data ke dalam kurikulum akademik bagi menyokong transisi kepada Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0);

(2) Menjadikan program berasaskan kemahiran dan program TVET sebagai satu daripada program yang ditawarkan. Contohnya program-program Sarjana Muda Teknologi yang ditawarkan di Malaysia Technical University Network (MTUN);

(3) Memberikan tumpuan untuk menguar-uarkan program mod pengajian 2u2i dengan lebih agresif kepada semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) serta pihak industri khususnya. Ini penting bagi mendapatkan buy-in daripada industri supaya program ini dapat dilaksanakan dengan lebih meluas;

(4) Melaksanakan sesi libat urus atau dengan izin, engagement bersama-sama wakil industri dari pelbagai sektor bagi mendapatkan maklumat berhubung dengan keberkesanan program 2u2i melalui inisiatif Future Workforce Engagement Series atau FORCES. Input ini akan digunakan untuk menambah baik kurikulum berasaskan pekerjaan yang dibangunkan supaya memenuhi keperluan industri.

(5) Mengadakan sesi perkongsian ilmu dan pengalaman oleh IPT yang telah melaksanakan Program 2u2i dengan IPT lain di samping menyebar luas hebahan di IPT untuk menggalakkan lagi penglibatan ke program ini.

Selain daripada itu, kementerian juga telah menubuhkan satu jawatankuasa yang bertanggungjawab ke atas pembangunan mod pengajian 2u2i di dalam usaha memantapkan pelaksanaan program. 

Kementerian juga kini di dalam perancangan untuk mewujudkan Jawatankuasa Strategik Mod Industri yang akan bertindak bukan sahaja untuk memastikan program mod 2u2i ini di pertingkatkan tetapi juga sebagai platform dan rujukan utama untuk memperkasakan agenda pembelajaran berasaskan pekerjaan (work-based learning).

Kementerian yakin, dengan penglibatan IPT serta wakil industri yang lebih ramai, program 2u2i akan terus kukuh. Peluang untuk menggabungkan pelbagai bidang akademik dengan keperluan industri pastinya memberikan nilai tambah kepada program 2u2i, seterusnya meningkatkan kebolehpasaran para graduan yang terlibat.

YB DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD 
Menteri Pengajian Tinggi – HARAKAHDAILY 14/12/2020

- Advertisement -