2020 tahun malapetaka buat dunia

- Advertisement -

TAHUN 2020 boleh disimpulkan sebagai tahun COVID-19. Ia bermula pada Disember 2019 di Wuhan. Kini seluruh dunia tertumpu kepada melawan virus ini. Semua isu lain tenggelam dengan populariti COVID-19.

Namun dalam kesibukan manusia dengan COVID-19, nampaknya pelan Zionis langsung tidak terganggu. Malah nampak makin lancar pula. Allon Plan (1967), Yinon Plan (1982), Deal of The Century (2017) semuanya mengikut landasan.

- Advertisement -

Israel memulakan tahun 2020 dengan krisis politik dalaman. Sejak awal tahun 2019, mereka tidak dapat membentuk kerajaan baharu sampai 3 kali Pilihan Raya Parlimen. Tiada mana-mana parti berjaya memperoleh majoriti. Akhirnya awal 2020 Netanyahu dan Gantz setuju bentuk Kerajaan Campuran atas alasan COVID-19. 

Misi pertama kerajaan baharu adalah normalisasi hubungan dengan Negara Arab. September 2020, UAE memulakan langkah diikuti Sudan, Bahrain dan terbaru Maghribi. Diramalkan senarai ini akan terus bertambah menjelang 2021. Saudi, Oman, Ethopia dan Mesir menunjukkan ekspresi positif terhadap normalisasi ini.

Netanyahu turut merealisasikan manifestonya berkait pengilhakan (annexation) Tebing Barat. Perkara ini adalah kempen beliau sejak 2019. US tidak membantah walaupun jelas bertentangan dengan Undang-undang Antarabangsa. Menyokong Israel adalah manifesto Trump 2016 dan mesti dikotakan supaya mempengaruhi Pilpres2020 US.

Tidak cukup dengan Tebing Barat, mereka juga mahu Annex Bukit Golan. 2019 lagi, US sudah iktiraf tanah asal Syria itu kini milik Israel sepenuhnya. Mereka mahu pastikan keselamatan Tasik Tiberias dan Sungai Jordan yang sangat penting bagi geopolitik Israel.

Tidak cukup dengan menguasai Golan, mereka juga direkodkan beberapa kali menyerang Syria dari udara. Sejak Trump mengundurkan tentera US dari Syria, Israel ambil alih peranan menentang Kerajaan Syria secara lebih agresif.

 Israel juga berjaya membunuh orang paling dikehendaki Mossad sejak sekian lama, As-Syahid Fakhrizadeh. Beliau dibunuh di Timur Tehran dalam satu serangan hendap. Beliau adalah saintis penting dalam pembangunan nuklear Iran.

Israel turut mendapat laba daripada pendirian Majlis Ulamak Saudi terhadap Ikhwanul Muslimin (demonization) pada November lalu. Menteri Luar Israel mengucapkan syabas kepada Menteri Agama Saudi kerana, ia secara tidak langsung memburukkan HAMAS sebagai legasi Ikhwanul Muslimin di Palestin.

Keadaan tambah menyebelahi Israel apabila parti Fatah mula mengendurkan pendirian terhadap Israel selepas kemenangan Biden. Minggu lepas, birokrat  daripada Fatah bertaraf menteri, Hussain al-Syaikh dilihat berunding dengan ketua badan keselamatan dalaman radikal Israel, Syabak. Pemimpin HAMAS mula menimbulkan kerisauan terhadap komitmen Fatah  dan masa depan kerjasama antara dua parti Palestin ini.

Semua yang berlaku ini kelihatan lancar buat agenda Zionisme. Trump atau Biden, ia tidak mengganggu. COVID-19, economy reset, norma baharu, semuanya langsung tidak menyebabkan Zionis mengkaji semula matlamat mereka untuk memperluaskan kuasa mereka. Walaupun ramai melihat cita-cita menegakkan kerajaan dari Sungai Nil ke Sungai Furat terlalu idealistik, tapi nampaknya ia semakin realistik.

Cita-cita mereka adalah Kerajaan Bani Israel persis Kerajaan Nabi Sulaiman. Inilah doktrin Zionis dalam melobi Yahudi seluruh dunia untuk berhijrah ke Palestin sejak awal Zionis tertubuh (1897). Mereka percaya, bila kuil Sulaiman berjaya dibina atas runtuhan Masjidil Aqsa dan Israel menguasai tanah dari Nil ke Furat, pemimpin Yahudi bergelar Messiah akan muncul lalu menguasai dunia. Pada akidah kita, inilah Dajal.

 2020 semakin menutup tirainya. 2021 digambarkan lebih kritikal berbanding tahun ini. Banyak negara akan kekurangan simpanan kecemasan mereka. COVID-19 pula dijangka akan terus berleluasa sepanjang 2021. Namun melihat sikap Israel yang licik mengambil peluang dari kegawatan dunia ketika ini, tentu banyak lagi langkah-langkah besar yang akan diambil untuk menjayakan agenda mereka tahun hadapan.

ALANG IBN SHUKRIMUN
29 Rabiul Akhir 1442
14 Disember 2020 – HARAKAHDAILY 14/12/2020

- Advertisement -