DAP Pulau Pinang lidah bercabang

- Advertisement -

ALOR SETAR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dianggap angkuh, hipokrit dan tidak konsisten berkenaan isu royalti air kepada Kerajaan Kedah.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Nurul Amin Hamid, berkata beliau bersikap double standard apabila mengeluarkan kenyataan yang berbeza dalam isu yang sama.

“Terkini pada 10 Disember 2020, beliau (Ketua Menteri Pulau Pinang) mengeluarkan kenyataan bahawa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) tidak akan membayar sebarang pampasan kepada Kedah kerana negerinya menggunakan hak antarabangsa,” ujarnya.

Sebaliknya, tegas Nurul Amin, pada 25 Jun 2018, beliau sendiri mengumumkan kesediaan membayar bayaran air itu kepada Kedah dan bersedia berbincang dengan pihak Kerajaan Pusat.

“Inilah dikatakan lidah bercabang. Adakah kerana berlainan teraju politik Kedah dari PH kepada PN menjadi tembok halangan kerajaan Pulau Pinang enggan melayan tuntutan Kedah hari ini?

Bahkan kenyataan yang sama pernah dibuat oleh Lim Guang Eng ketika menjawat Ketua Menteri Pinang pada 2013,” bidas beliau lagi.

Berikutan itu, beliau mengingatkan pemimpin berkenaan, adalah menjadi hak rakyat dan kerajaan Kedah untuk menuntut pampasan ekoran daripada penggunaan Pulau Pinang sebanyak 1100 juta liter padu (MLD) air sehari diambil dari Kedah.

Mereka sewajarnya mengambil kira pengorbanan Kedah memelihara dan mengekalkan hutan simpan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air untuk memastikan kepentingan 4.2 juta rakyat Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

“Adalah wajar untuk Kedah membuat tuntutan pampasan RM50 Juta setahun apatah lagi tuntutan ini berlarutan sejak 10 tahun yang lalu,” sambungnya lagi. – HARAKAHDAILY 11/12/2020

- Advertisement -