Pertemuan Umno-Bersatu mampu selesai isu Perak

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS menyatakan komitmen parti itu untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) serta mempertahan Perikatan Nasional (PN) walaupun pelbagai ranjau membabitkan ketiga-tiga parti.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, sejak dahulu PAS mahu mengukuhkan MN dan mempertahankan PN membabitkan kerjasama dengan Umno dan Bersatu.

- Advertisement -

“Jadi dalam isu di Perak Umno perlu bertemu dengan Bersatu, itu yang paling penting. PAS sentiasa berharap agar kemelut di Perak dapat diselesaikan segera.

“Selesai secara bersama dengan menghormati antara satu sama lain dan saling percaya mempercayai,” katanya ketika ditemui pemberita di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Kemelut politik melanda Perak Jumaat lepas berlaku apabila Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti melalui usul undi percaya yang dibentang wakil Umno pada persidangan Dewan Undangan Negeri.

Ekoran itu, Menteri Besar dan semua anggota Exco terpaksa meletak jawatan.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, pertemuan Setiausaha Agung Umno, Dato’ Seri Ahmad Maslan bersama PAS dan Bersatu diharap dapat menyelesaikan kemelut tersebut.

“Usaha yang dibuat Setiausaha Agung Umno sangat bagus sebab pemimpin Umno mesti bertemu dengan Bersatu. Apa yang berlaku di Perak bermula dengan Umno juga,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/12/2020

- Advertisement -