PAS Kelantan tunggu arahan bertemu Umno, BERSATU

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS Kelantan masih belum menerima sebarang arahan rasmi di peringkat Pusat, bagi parti itu mengadakan pertemuan antara Umno dan BERSATU di negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, parti itu sebelum ini hanya mengadakan pertemuan dengan Umno Kelantan bagi membentuk kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN).

“…tapi untuk pertemuan bersama antara Umno dan BERSATU masih belum diadakan dan kita (PAS Kelantan) akan menunggu arahan rasmi di peringkat Pusat,” katanya kepada pemberita di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

- Advertisement -

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan itu mengulas mengenai sejauh mana kerjasama yang telah dibentuk melalui tiga parti itu, bagi mengelak berlakunya krisis politik antara MN mahupun Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.

Mengulas isu politik di Perak, Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS mengharapkan isu berkenaan dapat diselesaikan segera, terutama membabitkan hubungan antara Umno dan BERSATU.

“Pemimpin Umno mesti bertemu dengan pemimpin BERSATU selepas tindakan Umno yang mengemukakan usul itu. Bagi PAS, pendirian kita, tiga parti ini mesti bersama dan kita mengharapkan isu di Perak dapat diselesaikan segera,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -