Solat Jumaat di kawasan PKPP dibenar

- Advertisement -

KOTA BHARU: Solat Jumaat, fardhu dan aktiviti di masjid, surau serta musalla di Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang diteruskan berdasar garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikeluar sebelum ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, perkara itu berkuat kuasa bermula 7 hingga 20 Disember ini.

- Advertisement -

Bagaimanapun katanya, solat Jumaat, fardhu dan aktiviti-aktiviti di masjid, surau serta musalla di jajahan Bachok, Tumpat, Pasir Puteh, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang dibenarkan beroperasi seperti garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Sultan Muhammad V mengampuni perkenan perkara berkenaan selaras peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan,” katanya pada satu kenyataan di sini. semalam.

Tengku Mohamad Rizam juga berkata, memandangkan pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Madrasah Ad-Diniah, Kampung Huma Pasir Puteh, maka surau dan musalla di kawasan tersebut diarah tutup.

Begitu juga arahan penutupan surau dan musalla di kawasan Kluster Mengketil dan kawasan Istana Negeri Kubang Kerian diteruskan sehingga suatu tarikh yang akan diberitahu.

“Oleh itu MAIK berharap mendapat kerjasama daripada semua pihak bagi melaksanakan ketetapan tersebut.

“Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah SWT pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua,” katanya.

Kelantan semalam mencatatkan tiga kes baru iaitu dua kes dari Kluster Huma dan satu Kluster Hilir. – HARAKAHDAILY 8/12/2020

- Advertisement -