Arwah tidak sempat tatap puteri dinantikannya

- Advertisement -

REMBAU: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Negeri Sembilan dan LKK PAS Kawasan Rembau telah menziarahi seorang balu, Khairunnisak Ashaari, 35 di Kampung Sri Melenggang, Astana Raja, Kota, di sini kelmarin dahulu.

Suami beliau, Mohd Ghazali Akup, 49 telah terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang dari tapak projek tempat kerjanya di Jabatan Pembetungan Putrajaya pada 11 November lalu.

Allahyarham yang koma selama 19 hari sejak kejadian malang itu bagaimanapun kembali ke rahmatullah setelah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Tunku Jaafar Seremban (HTJS) pada 30 November lalu.

- Advertisement -

Pilunya, ibu tunggal ini baru sahaja melahirkan bayi perempuan yang merupakan anak keenam keluarga ini, sebelum sempat ditatap arwah suaminya yang selama ini amat menantikan seorang puteri setelah memiliki lima anak lelaki.

Dalam tempoh sementara ini, Khairunnisak tinggal bersama kakaknya, Zuriani Ashaari, 48, juga seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai Pembantu Tadika KEMAS dan mempunyai tiga anak berusia 18 hingga 23 tahun.

Kehadiran rombongan PAS ini telah menyerahkan sumbangan berupa perabot terpakai, barangan asas keperluan dapur dan sedikit wang tunai bagi perbelanjaan keluarga ini dalam meringankan beban mereka.

Ziarah dan sumbangan ini telah dipimpin oleh Pengerusi LKK PAS Negeri Sembilan, Ishak Omar dan Pengerusi LKK Muslimat PAS Negeri Sembilan, Rohayati Md Din.

Para dermawan yang prihatin boleh menyumbang langsung kepada keluarga ini menerusi akaun BSN 0530041100004217 Khairunnisak Ashaari.HARAKAHDAILY 8/12/2020

- Advertisement -