Umno, PAS, BERSATU diseru ke meja rundingan

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memerhati perkembangan kemelut politik yang berlaku di Negeri Perak dengan penuh teliti. Tahniah diucapkan kepada ADUN-ADUN PAS yang menyokong usul yang diangkat oleh rakan Muafakat Nasional (MN) iaitu Umno serta mempertahan Menteri Besar Perak dari BERSATU yang merupakan rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

Walaupun usul yang dicadang dan disokong oleh Umno itu telah digagalkan oleh ADUN-ADUN Umno sendiri dan ADUN Pakatan Harapan (DAP, PKR dan PAN), Pemuda PAS berpendapat bahawa Kerajaan Perikatan Nasional di Perak wajib dipertahan dan semua kepimpinan Perikatan Nasional yang terdiri daripada Umno, PAS dan BERSATU perlu duduk bersama melalui meja rundingan untuk menyelesaikan kemelut ini. 

- Advertisement -

Perlu diingatkan, tujuan permuafakatan yang kita bina adalah untuk memperkukuh kesatuan umat Islam serta menawarkan kerajaan yang dapat memberikan kestabilan politik, sosial dan ekonomi kepada rakyat. Dan pastinya, ia adalah tanpa Parti Komponen Pakatan Harapan!

Pemuda PAS merasakan kemelut ini memberi pengajaran kepada Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional supaya sentiasa mengamalkan rundingan (musyawarah) dan perbincangan yang terbuka, telus dan ikhlas. Individu-individu yang mengamalkan taktik ‘devide and rule’ untuk menggagalkan Muafakat Ummah ini perlu dikenal-pasti dan diambil tindakan yang sewajarnya oleh parti masing-masing. 

Justeru, sekali lagi Pemuda PAS menyeru kepada kepimpinan tertinggi Umno, PAS dan BERSATU agar kembali ke meja rundingan dan menyelesaikan kemelut politik ini secara tuntas agar Perikatan Nasional semakin kukuh dan diyakini oleh rakyat untuk terus memimpin negeri dan negara. 

“Perkukuh Muafakat Nasional, Pertahan Perikatan Nasional”

IR. TS. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 7/12/2020

- Advertisement -