KUALA LUMPUR: Badan-badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menyeru semua pihak agar bersama-sama mencari kaedah baharu yang berinovasi demi kelangsungan usaha dakwah dan pengimarahan masjid dan surau.
Terutamanya dalam amalan norma baharu seperti mengoptimumkan penggunaan teknologi maklumat dengan pembelajaran interaktif dalam talian, smart kuliah, dakwah online, platform kuliah dan tazkirah harian dalam talian, dan sebagainya.
Menurut Pensyarah Kanan Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Muhamad Faisal Ashaari, antara resolusi yang dibawa dalam Webinar Himpunan NGO Islam peringkat Selangor adalah mewujudkan dan memperluaskan jalinan kerjasama strategik antara masjid dan surau bersama NGO-NGO Islam.
Hal demikian bertujuan bagi meningkatkan dan mengembangkan aktiviti dakwah seperti mewujudkan program NGO angkat bagi masjid dan surau.
Resolusi seterusnya adalah menubuhkan satu badan atau yayasan yang menjaga kepentingan dan kebajikan para asatizah dan pendakwah agar kelangsungan pengurusan dakwah yang terurus dan lebih profesional.
Selain itu, memastikan kelangsungan aktiviti dakwah sebagai salah satu solusi bagi menangani impak Covid-19 terhadap spiritual manusia dengan mengangkatnya sebagai salah satu agenda penting melalui kerjasama NGO-NGO dengan masjid dan surau.
Seterusnya, memperkukuhkan sistem pengajaran dan pembelajaran di institusi pengajian Islam merangkumi institusi tahfiz dan pondok agar selari dengan keperluan norma baharu dengan sokongan pihak berwajib bagi memenuhi keperluan tertentu untuk sesi pengajaran dan pembelajaran semasa dan pasca Covid-19.
Kemudian, mengoptimumkan peranan pengurusan dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid dalam mengimarahkan masjid dan surau dengan solat dan munajat tanpa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) bagi memelihara kelangsungan syiar Islam di samping menambah jumlah kehadiran jemaah dari semasa ke semasa bersandarkan pengkelasan zon seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Terakhirnya, usaha menyeru rakyat Malaysia agar terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Majlis Agama Negeri yang berkait dengan urusan ibadah dan ajaran Agama Islam.
Webinar Himpunan NGO Islam peringkat Selangor menghimpunkan NGO-NGO Islam seluruh Selangor bagi memikirkan solusi kepada pelbagai isu berkaitan Covid-19 dan dunia dakwah.
Webinar yang bersiaran langsung di Facebook Pertubuhan Pendakwah Selangor itu telah ditonton lebih 5,700 tontotan sejak awal pagi semalam. – HARAKAHDAILY 7/12/2020