Pondok perlu hasilkan lebih ramai pelapis ulama – KM Melaka

- Advertisement -

TANGGA BATU: Pondok dan madrasah perlu menghasilkan lebih ramai lagi pelapis-pelapis ulama demi untuk menjaga agama Islam di masa depan.

Demikian dinyatakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dalam satu lawatan beliau ke pondok Baitul Qurro’ wal Fuqoha’ Sungai Udang di sini, semalam.

- Advertisement -

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha yang telah dilakukan pemilik pondok ini, Tuan Guru Zulkifli Ismail sambil menyifatkan apa yang telah dilakukan ini sebagai membawa risalah dan menyambung apa yang telah diperintahkan oleh Allah swt kepada umat Islam.

“Tetapi saya yakin kalau kita dapat membentuk pelapis ulama ini pada masa akan datang insya-Allah, Allah bersama-sama dengan kita dan agama ini. Islam ini akan terus subur selagi ada matahari bulan dan bintang. Itu sahaja harapan saya,” ujar beliau.

Ketika diminta mengulas tentang sikap beliau yang dilihat sangat berminat dengan aktiviti keagamaan dan majlis ilmu, Ketua Menteri Melaka itu menjelaskan bahawa ia bukan persoalan tentang ‘minat’ tetapi ia adalah satu tanggungjawab beliau sebagai pemimpin yang beragama Islam.

“Tugas kita selaku pemimpin, umarak-ulama mesti seiring membangunkan dan mengangkat memartabatkan agama kita ke peringkat yang lebih tinggi lagi, itu tugas kita,” ujar beliau.

Tambah Sulaiman lagi, selagi beliau masih menjadi ketua bagi Negeri Melaka ini, beliau akan menggunakan kuasa yang ada pada beliau untuk memajukan lagi agama Islam.

“Tugas saya, selagi saya memimpin, menjadi tugas dan tanggungjawab saya untuk memastikan agama ini diangkat dan dipertingkatkan ke arah yang lebih baik lagi,” ujar beliau lagi.

Ketika ditanya tentang jemputan beliau kepada mudir-mudir sekolah pondok sekitar Melaka ke kediaman rasmi beliau di Seri Negeri baru-baru ini beliau berkata ia adalah untuk membantu perkembangan sekolah-sekolah pondok di Melaka.

“Saya kalau boleh nak jumpa semua mudir-mudir (sekolah pondok) di dalam negeri Melaka seramai mungkin. Tak lain tak bukan, hanya untuk mendengar apa masalah mereka dan apa yang boleh saya bantu selaku ketua negeri.

“Sebab itu di mana-mana saya hadir, selepas rutin mingguan saya (program turun padang), saya pergi ke pondok (berdekatan). Mana yang boleh saya bantu, saya bantu,” kata beliau lagi.

Beliau juga meminta kepada Pegawai Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang turut sama dalam lawatan itu untuk mempermudahkan segala prosedur bagi membantu sekolah-sekolah pondok ini.

“Tugas kita adalah untuk mempermudahkan, jangan menyukar dan menyulitkan. Jadi saya dah bagitahu (pada pegawai tersebut), permudahkan apa sahaja yang ada ini. Permudahkan.

“Saya nak lahirkan pendakwah-pendakwah. Jadi, syarat yang ada ini ikut. Segala SOP ikut. Tapi permudahkan,” kata Ketua Menteri Melaka itu lagi.

Sementara itu Tuan Guru Zulkifli yang juga merupakan Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka, mengucapkan jutaan terima kasih di atas kesudian Ketua Menteri Melaka hadir menziarahi pondoknya itu.

“Dengan kunjungan ini saya berharap bertambah lagi keberkatan dan bersemarak lagi perkembangan ilmu dan dakwah di negeri kita, Negeri Melaka, yang tercinta ini.

“Saya mengucapkan jazakumullahu khairan atas sumbangan-sumbangan daripada Yang Amat Berhormat Datuk Seri kepada madrasah.

“Saya berharap dengan kunjungan Datuk Seri akan memberikan suatu isyarat kepada seluruh masyarakat tentang pentingnya mereka itu meningkatkan pengajian dan menuntut ilmu pengetahuan agama sebagai mencontohi keperihatinan daripada Datuk Seri Ketua Menteri sendiri,” ujar Tuan Guru Zulkifli.

Di akhir program lawatannya ini Ketua Menteri Melaka itu turut menyampaikan sumbangan dan cenderamata kepada tenaga pengajar dan Ahli Jawatankuasa Pentadbir Madrasah Baitul Qurro’ wal Fuqoha’ ini. – HARAKAHDAILY 30/11/2020

- Advertisement -