Pengurusan rekalibrasi PATI – KSM

- Advertisement -

REKALIBRASI PATI kerjasama antara dua (2) Kementerian iaitu Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bermula 16 November 2020.

Sejak program tersebut bermula, KSM yang bertanggungjawab untuk meluluskan kuota kelayakan telah menerima sebanyak 113 permohonan majikan melibatkan sebanyak 17,292 permohonan kuota untuk menggajikan pekerja asing.

Kerajaan tidak melantik pihak ketiga atau mana-mana vendor untuk mengurus Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan Program Rekalibrasi Pulang di bawah Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dilaksanakan bermula pada 16 November 2020.

- Advertisement -

Pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI tidak dieksploitasi oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab. Kementerian memandang serius perkara ini dan akan menjalankan siasatan terperinci ke atas pihak yang mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI bagi mengelakkan berlakunya manipulasi terhadap majikan atau PATI yang terlibat.

Tindakan undang-undang di bawah Seksyen 7, Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246) yang mana jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA 
Putrajaya
27 November 2020 – HARAKAHDAILY 27/11/2020

- Advertisement -