Tiada cara lain elak PRK Batu Sapi – Wan Rohimi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengisytiharan darurat serta pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) oleh Yang di-Pertuan Agong boleh mengabaikan tuntutan Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM), Wan Rohimi Wan Daud berkata, dalam Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan menuntut mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) dalam tempoh 60 hari apabila berlaku kekosongan kerusi wakil rakyat.

Jelas beliau, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk mengisytihar darurat ‘proclamation of emergency’ bukan sahaja di seluruh negara malah di kawasan-kawasan tertentu.

- Advertisement -

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak ada kuasa menangguh PRK, Akta Pilihan Raya tidak boleh digunakan, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) juga tidak boleh digunakan.

“Sebab isu pilihan raya (kekosongan kerusi) ini adalah keperluan Perlembagaan Persekutuan. Akta-akta kecil ini tidak boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi, dalam keadaan itu, kerajaan memberi jalan keluar, sekiranya sesuatu kawasan diisytihar darurat, maka pilihan raya boleh ditangguhkan.

“Kena guna cara yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan juga untuk tangguh pilihan raya, iaitu dengan mengisytihar darurat,” jelasnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi bagi menangguhkan atau membatalkan tarikh PRK sebagai langkah proaktif membendung gejala wabak Covid-19.

Langkah ini diambil untuk mengekang dan menghalang berlakunya gelombang keempat penularan wabak Covid-19 di Sabah dan juga di seluruh negara.

Kerusi Parlimen Batu Sapi diisytiharkan kosong berikutan kematian penyandangnya, Dato’ Liew Vui Keong daripada Warisan pada 2 Oktober lalu akibat jangkitan paru-paru.

SPR sebelum ini menetapkan 23 November sebagai hari penamaan calon manakala 1 Disember hari undi awal dan hari mengundi pada 5 Disember depan.

Susulan pengisytiharan terbabit, SPR akan menetapkan satu tarikh baharu untuk PRK Batu Sapi. – HARAKAHDAILY 20/11/2020

- Advertisement -