ADUN Beserah cadang Pahang wajibkan KAFA

Belanjawan 2021 Pahang

- Advertisement -

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang dicadang supaya mewajibkan semua anak-anak Islam berusia 7 hingga 12 di negeri ini mengikuti pengajian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sepertimana yang dilaksanakan di negeri Johor.

- Advertisement -

Andansura Rabu (PAS-Beserah) berkata, ia penting untuk membentuk dan melahirkan generasi ke arah pengembangan fitrah selaras al-Quran dan as-Sunnah yakni kuat iman dan amalan kepada Allah serta menghayati akhlak dan cara hidup Islam.

Perkara itu dikemukakan beliau semasa membahas Belanjawan 2021 Pahang bertemakan ‘Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama’ pada Sidang DUN Pahang di Wisma Seri Pahang, di sini semalam.

“Melihat kepada data yang saya terima di Dewan, bilangan pelajar KAFA negeri Pahang sehingga setakat ini adalah seramai 74,000 orang. Sedangkan jumlah pelajar Islam seusia 7 hingga 12 tahun yang berada di sekolah hari ini ada lebih dari 200,000 orang.

“Bermakna hanya 30 peratus sahaja (pelajar tersebut di negeri ini) yang mengikuti KAFA,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang kepada wakil HarakahDaily, semalam.

Tegasnya, perkara tersebut perlu dipandang serius kerana dibimbangi cabaran maklumat di hujung jari, selain masalah sosial semakin meningkat kini menuntut pendidikan agama dan al-Quran diambil berat terhadap anak-anak.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Datuk Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad ketika menjawab soalan Andansura menyatakan kesediaan Kerajaan Pahang mempertimbangkan perkara itu.

Menurutnya, buat masa ini pengajian itu belum diwajibkan selain terletak di bawah pengurusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dibuka kepada semua murid berumur 7 hingga 11 tahun.

“Cadangan itu amat baik dan kita akan pertimbangkan, buat masa ini tiada halangan bagi anak-anak ini untuk mengikuti KAFA.

“Kita galakkan anak-anak muda mengikuti kelas ini dan kelas ini juga mendapat sambutan yang baik daripada ibu bapa, sama ada di kampung dan bandar,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/11/2020

- Advertisement -