Takut Allah atau takut virus?

- Advertisement -

INILAH jawapan Fatris Bakaram (bekas Mufti Singapura) apabila ada orang ajukan pertanyaan;

“Takut Allah atau takut virus?”

- Advertisement -

Dia menjawab:

Manusia perlu takut kepada Allah, dan di antara bukti takut kepada Allah adalah mematuhi segala perintah-Nya. Di antara perintahNya adalah:

(1) Mensyukuri nikmat nyawa, tubuh badan dan kesihatan;
(2) Memelihara kesihatan, nyawa dan hal mudarat;
(3) Taat kepada perintahNya dan ajaran Rasul, yakni menyuruh kita untuk mengelak dari wabak;

Maka, jika benar takut Allah semua langkah untuk mengelakkan diri dari terkena jangkitan perlu diambil.

Dia turut memberi nasihat:

Takut kepada Allah memerlukan kewarasan akal, bukan dengan membutakan mata hati atau membekukan otak yang dikurniakan tuhan.

Ada yang berkata begini, ‘Kenapa nak takut, virus itu juga makhluk Tuhan?’.

Beginilah:

Pergilah berenang di sungai penuh buaya, redha kerana buaya juga makhluk Tuhan; Pergi ke lautan penuh dengan jerung, redha kerana jerung juga makhluk Tuhan; Pergi masuk hutan penuh dengan ular, redha kerana ular ialah makhluk Tuhan; Pergilah ke zoo, masuk kandang singa, jangan takut dan redha, singa juga makhluk Tuhan.

Firman Allah (bermaksud):

”Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.”

(al-Baqarah: 195)

Firman-Nya juga (bermaksud):

”Jangan kamu bunuh diri kamu, sesungguhnya Allah sangat kasih kepada kamu.”

(al-Nisa: 29)

Dalam erti kata lain, menyelamatkan diri dari kemusnahan adalah tuntutan Islam. 

Dilarang menghampiri sebab-sebab yang membawa kemusnahan diri. Nabi S.A.W ketika berbicara mengenai Taun menyebut (bermaksud):

“Jika kamu mendengar Taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini mengajar mengenai tindakan kuarantin agar penyakit atau wabak tidak tersebar. Hadis ini pernah dibaca oleh ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab ketika beliau bercadang pergi ke Syam semasa wabak Taun sedang merebak di sana pada zaman pemerintahnya. Mendengar Hadis ini, Amirul Mukminin ‘Umar al-Khattab membatalkan hasratnya. (Lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/5, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Jika terkena juga penyakit, Islam menyuruh pula penganutnya untuk berubat. Sabda Nabi S.A.W:

“Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.”

(Riwayat Muslim)

Kata Al-Imam Nawawi (meninggal 676H): “Hadis ini memberi isyarat disunatkan mengubat penyakit. Inilah mazhab ashab kita (aliran mazhab al-Syafie), kebanyakan Salaf dan keseluruhan Khalaf. Kata al-Qadi ‘Iyadh: Dalam Hadis-hadis ini terkandung beberapa ilmu-ilmu agama dan dunia; benarnya ilmu perubatan, diharuskan berubat secara keseluruhannya. Hadis-hadis ini juga menolak golongan sufi yang melampau yang membantah berubat dan berkata: “Kesemuanya dengan qada dan qadar Allah, tidak memerlukan kita berubat”.

Semoga ada manfaat buat kita semua. Aameen

KHAIRUL ANUAR YAZID – HARAKAHDAILY 16/11/2020

Sumber asal: https://www.facebook.com/1520735290/posts/10224031137395833/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -