Pastikan MN-PN tidak tersungkur di kaki PH

- Advertisement -

RAMAI pula yang bertanya kepada saya selepas secara rasminya terbentuk PN yang mana kepimpinannya dibarisi oleh pimpinan PAS dan BERSATU. Ada yang kata PAS sudah melupai Umno. Maka makhluk-makhluk yang sekian lama mahu lihat MN hancur, segera merebut peluang dengan mencipta berbagai-bagai fitnah untuk menyakitkan hati Umno kepada PAS.

- Advertisement -

Pada saya tidak ada apa yang membahayakan MN dengan termeterainya jawatankuasa bersama PN antara PAS dan BERSATU: 

(1) PAS adalah parti yang sangat komited dengan agenda penyatuan Melayu Muslim. Sehingga Umno yang sekian lama berpencak di gelanggang adu dengan PAS tiba-tiba dipeluk PAS penuh ukhuwah demi agenda mulia dan besar itu. Saya percaya Umno menerima PAS juga atas semangat dan kesedaran yang sama. Kerana agenda yang sama jugalah PAS menerima BERSATU. Saya fikir tiada apa yang bahaya jika PAS bertindak memperkukuhkan MN dan PN. Tiada apa ruginya BERSATU jika PAS perteguhkan MN bersama Umno. Juga tiada ruginya Umno jika PAS perkukuhkan PN bersama BERSATU. Hakikatnya Melayu dan Muslim dalam ketiga-tiga parti itu akan kiat dan untung besar.

(2) PAS menerima BERSATU tidak merombak apa-apa simpulan yang mengikat MN. Kerana BERSATU bukan komponen PH. Begitu juga bila PAS menerima Umno ia tidak merombak apa-apa ikatan PN kerana Umno bukan komponen PH.

(3) Hakikatnya antara PAS, BERSATU dan Umno saling perlu memerlukan antara satu sama lain. Mana-mana parti yang cuba bersendiri pasti akan tersungkur di hujung kaki PH. Kerana Umno dan BN yang kuat sebelum ini boleh tumbang bila bersendiri. Apatah lagi PAS dan BERSATU. Setakat ini saya tidak melihat ada antara ketiga-tiga parti itu yang mampu mendepani Pakatan PH jika bersendiri.

(4) Jika ada sebahagian ahli Umno yang tidak dapat menerima BERSATU itu tidak bermakna Umno perlu mengulangi kembali sejarah PRU14. Kepada yang tidak sukakan TSMY sebagai PM perlu ingat, sebarang kesilapan percaturan dibuat bermakna memberi ruang Anwar menduduki singgahsana PM dan DAP akan menjadi Maharaja menggantikan Raja-raja Melayu. 

(5) Untuk menjadikan Bangsa Melayu dan Islam berkuasa, maka PM dan MN tidak boleh pecah. Keputusan menghadapi PRU15 secara pertandingan 2 penjuru perlu direalisasikan. Jika PN atau MN pecah pastinya akan berlaku pertandingan 3 penjuru. Jika itu berlaku, maka era kegelapan bagi agama, bangsa dan negara ini akan kembali semula, dan itu tidak boleh dibiarkan berlaku. Jiwa besar pimpinan semua parti sangat-sangat diperlukan.

(6) Selaku sebuah parti yang berpaksikan prinsip-prinsip Islam, PAS tidak akan khianati kawan, siapa pun ia, sama ada MN atau PN.

(7) MN atau PN tidak perlukan Anwar atau mana-mana parti komponen PH untuk menjadi kuat. Kerana ketiga-tiga parti ini sudah cukup kuat, asalkan terus kekal dalam ukhuwah dan kesedaran politik bersama.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 13/11/2020

- Advertisement -