KKM hantar tiga pakar perunding psikiatri ke Sabah

- Advertisement -

TAWAU: Tiga pakar perunding psikiatri Hospital Kuala Lumpur dihantar ke Sabah bagi membantu menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat dan para petugas barisan hadapan susulan wabak pandemik Covid-19, di sini.

Ketiga-tiga pakar tersebut iaitu Dr Siti Nor Fadhlina Misron, Dr Akramul Zikri Abd Malek dan Dr Mohd Hafiz Norzan masing-masing ditugaskan di Hospital Besar Tawau, Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan Hospital Lahad Datu.

- Advertisement -

Menurut jurucakap Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Tawau, tujuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil inisiatif itu kerana keperluan perkhidmatan psikiatri yang semakin meningkat di negeri ini.

“Pihak KKM melihat tahap kesihatan mental daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk petugas-petugas kesihatan terjejas susulan penularan wabak Covid-19.

“Pasukan sokongan kesihatan mental dan psikososial (MHPSS) sentiasa memantau masyarakat terutamanya pesakit Covid-19 dan ahli keluarganya sekiranya terdapat kesan psikologi seperti ‘stress’ akibat wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, masalah kesihatan mental berpotensi terjadi kepada semua lapisan masyarakat tidak mengenal usia dan jantina terutamanya bila berlaku musibah yang tidak dapat dielakkan.

“Baru-baru ini, warga Tawau dikejutkan dengan percubaan membunuh diri oleh seorang lelaki yang disahkan menghadapi masalah mental dan kemurungan.

“Pelbagai komen daripada netizen termasuk yang mendoakan keselamatannya dan tidak kurang juga ada pihak bertindak memperlekehkan perbuatan lelaki tersebut,” katanya

Mengulas lanjut, perbuatan memperlekehkan pesakit mental sangat dikesali dan berharap kehadiran pakar perunding psikiatri itu sedikit sebanyak dapat membantu memberikan kesedaran terhadap pentingnya kesihatan mental.

“Kami berharap usaha KKM menghantar pakar psikiatri ke Sabah boleh dimanfaatkan dengan sebaiknya dan mengalu-alukan mereka yang mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi Facebook rasmi jabatan kami iaitu Laman Minda Tawau,” katanya

Terdahulu, Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh kerajaan baru-baru ini telah memperuntukkan sejumlah RM24 juta untuk program kesihatan mental.

Kerajaan sangat peka dengan isu-isu kesihatan mental terutamanya berlakunya penularan wabak yang banyak memberi impak dari segi ekonomi, kesihatan fizikal dan mental. – HARAKAHDAILY 12/11/2020

- Advertisement -