KASA mahu jadi kementerian yang menjana ekonomi

Setiausaha Politik Menteri KASA, Dr Mohd Zuhdi Marsuki ketika ditemubual dalam Bicara Harakah, Belanjawan 2021: Antara Ekonomi dan Rakyat, di sini, semalam
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) pada masa akan datang mahu menjadi sebuah kementerian yang menjana ekonomi kepada rakyat dan negara.

Setiausaha Politik Menteri KASA, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata demikian ketika ditanya oleh penonton Bicara Harakah, Belanjawan 2021: Antara Ekonomi dan Rakyat, berhubung sumbangan KASA terhadap ekonomi melalui Belanjawan 2021, semalam.

Menurut beliau, sebahagian negara di Benua Eropah, kementerian yang menjaga kelestarian alam sekitar dan Kementerian Kewangan berdiri sama tinggi kerana mempunyai kepentingan yang sama penting untuk sesebuah negara.

Hal ini kerana, kementerian seperti KASA mempunyai potensi untuk menjana pendapatan dan disebabkan itulah Belanjawan 2021 memperuntukkan dana kepada KASA untuk mengatasi masalah pencemaran dalam negara.

Selain itu, kata Mohd Zuhdi, industri bekalan air juga satu aspek penting yang perlu diberi perhatian.

Hal ini kerana, tanpa bekalan air bersih yang baik dan lancar, ia mampu merencatkan ekonomi negara memandangkan ia adalah keperluan asas manusia dan hidupan.

- Advertisement -

“Bekalan air ini adalah industri yang kalau tidak wujud, bukan setakat domestik hadapi masalah, kilang-kilang pun hadapi masalah dan semua pihak.

“Boleh sebabkan ekonomi menjadi terencat, itu sebab bekalan air penting dan di samping itu, peranan penting KASA adalah untuk memastikan sumber dan ‘raw material’ kepada ekonomi kita sentiasa lestari.

“Itu di antara aspek-aspek yang diberi penekanan dalam bajet dan pencemaran contohnya, dan juga yang disebut secara khusus dalam belanjawan, adalah ‘green technology‘,” jelasnya.

Mengulas lanjut, kata Mohd Zuhdi, green technology dengan penggunaan teknologi baharu dapat menjana sumber baharu seperti penjanaan penggunaan tenaga solar, ‘rain water harvesting‘, ataupun Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH).

Katanya, walaupun penerimaan SPAH dilihat sarkastik oleh sesetengah individu, ia sebenarnya boleh menjimatkan penggunaan air isi rumah harian sekaligus mengurangkan pembaziran air bersih.

Contohnya, kata Mohd Zuhdi, pembaziran harian penggunaan air adalah menggunakan air bersih untuk ‘flush‘, ia adalah satu pembaziran dan tidak berbaloi dengan kos rawatan air bersih yang diperuntukkan. – HARAKAHDAILY 12/11/2020

- Advertisement -