ABPBH: Menteri Agama dipercayai bawa suara teguran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri telah mengunjungi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah, di Putrajaya, di sini hari ini.

Pertemuan itu dilihat ada kaitannya dengan kehangatan bantahan ramai terhadap Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) di mana menurut Dr Zulkifli bertujuan berkongsi buah fikiran dan pandangan berhubung penganjuran program hiburan yang tular kebelakangan ini.

“Saya menjelaskan pendirian Islam yang tidak menolak sebarang bentuk hiburan yang tidak bertentangan dengan agama. Hiburan yang tidak berlebihan, apatah lagi dalam kaedah psikoterapi yang menerapkan elemen agama, adalah satu bentuk pendekatan yang amat baik dalam situasi yang menekan pada masa ini.

- Advertisement -

“Dalam masa yang sama, beberapa isu sensitiviti umat Islam seperti bulan Maulidurrasul yang masih berbaki beberapa hari, perlu diberi pertimbangan sebaiknya.

“Alhamdulillah, YB Dato’ Saifuddin Abdullah memaklumkan kepada saya yang beliau akan menghubungi pihak penganjur dan berusaha meneliti ruang penambahbaikan yang sesuai. Terima kasih atas keprihatinan YB Dato’ dalam perkara ini,” ujarnya.

Katanya, beliau juga mengambil maklum, pandemik COVID-19 sedikit sebanyak memberi kesan kepada kru belakang tabir yang terlibat dalam industri muzik di mana mereka adalah antara terjejas pendapatan, terutamanya yang bekerja sepenuh masa dalam industri ini.

“Jika ada apa-apa yang boleh kami (agensi-agensi agama di peringkat Persekutuan) hulurkan bantuan, saya amat berbesar hati. Bermula Mac hingga hari ini, kami telah menyalurkan hampir RM360 juta kepada 10 kelompok sasar di seluruh Malaysia.

“Sebagai salah sebuah agensi di bawah saya, TV Alhijrah turut menyediakan pelbagai bentuk hiburan alternatif sepanjang penghujung bulan Maulidurrasul ini. Boleh sama-sama tonton di Facebook, Saluran 114 Astro, Unifi TV dan MyFreeview,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/11/2020

- Advertisement -