Sisa klinikal meningkat 20 peratus sejak COVID-19

KUALA LUMPUR: Sisa klinikal di negara ini meningkat sebanyak 20 peratus sejak wabak COVID-19 melanda negara, kata Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Advertisement

Beliau berkata semua sisa buangan daripada kemudahan kesihatan seperti peralatan perlindungan diri (PPE) yang dikategori sebagai sisa klinikal semasa penggunaan bagi pengendalian pesakit COVID-19 dikumpul dan dilupuskan di loji pelupusan sisa klinikal yang mempunyai teknologi pengawalan pencemaran alam sekitar.

“Di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, buangan seperti bahan-bahan plastik pakai buang yang dijana daripada kemudahan kesihatan dan pusat kuarantin COVID19 yang diwartakan oleh kerajaan dikategorikan sebagai buangan terjadual dengan kod buangan terjadual SW 404 – buangan patogenik, buangan klinikal atau bahan yang dikuarantinkan. 

“Buangan iaitu sisa klinikal tersebut perlu dilupuskan di premis yang ditetapkan buangan terjadual yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) mengenai sama ada KASA bercadang mewujudkan tempat pembuangan sisa klinikal khas di setiap negeri sejak negara dilanda COVID-19 kerana terdapat peningkatan pembuangan sampah sejak Mac tahun ini. 

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata sisa buangan seperti plastik pakai buang yang diguna pakai orang awam di premis seperti pasar basah, pasar raya, pejabat, kilang dan seumpamanya yang digunakan bagi tujuan perlindungan diri daripada jangkitan COVID-19 dikategorikan sebagai buangan domestik. 

Jelasnya, buangan itu dilupuskan sebagai buangan domestik (sisa pepejal) yang diuruskan pihak berkuasa tempatan atau di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. – BERNAMA