KSM akan bincang dengan Malindo Air

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Jabatan Tenaga Kerja telah mengambil inisiatif untuk mengadakan satu perbincangan dengan pihak pengurusan Malindo Air pada hari ini berikutan isu pemberhentian pekerja syarikat penerbangan berkenaan.

Menteri Sumber Manusia, Dato’ Seri M Saravanan berkata mesyuarat itu akan melibat sama Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Mesyuarat ini akan membincangkan isu berkaitan pematuhan perundangan perburuhan serta langkah-langkah menjaga kebajikan pekerja yang terlibat,” katanya dalam Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) yang mempersoalkan bantuan yang akan diberikan oleh kementerian kepada pekerja Malindo Air yang diberhentikan kerja serta merta di samping rancangan untuk memastikan “job security” untuk mereka.

- Advertisement -

Katanya, pekerja Malindo Air yang diberhentikan kerja serta-merta boleh mendapatkan bantuan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), sehingga enam bulan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

“Bayaran elaun akan dibuat antara 80 peratus hingga 30 peratus daripada gaji akhir, di bawah had gaji RM4,000.

“Bantuan tersebut adalah seperti Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB), Elaun Latihan, Fi Latihan dan Faedah bantuan pencarian pekerjaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Saravanan berkata, mereka juga boleh mendaftar dengan Portal MYFutureJobs iaitu portal pekerjaan yang membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

Selain itu, Kementerian Sumber Manusia juga, melalui Pembangunan Sumber Manusia (PSMB) atau Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) mempunyai pelbagai inisiatif di bawah Penjana HRDF yang dapat membantu pekerja Malindo Air yang telah hilang pekerjaan atau yang mungkin akan kehilangan kerja. – HARAKAHDAILY 3/11/2020

- Advertisement -