Khadijah R.A inspirasi muslimah akhir zaman

- Advertisement -

KHADIJAH binti Khuwailid R.A adalah seorang usahawan yang masyhur serta terkenal dengan kemuliaan budi dan kekayaan harta. Bila mendengar berita mengenai perihal peribadi Nabi Muhammad S.A.W yang mulia dan akhlak terpuji itu, dia terus mempelawakan kepada Baginda supaya menjalankan usaha perniagaan dengan hartanya. Bahkan sanggup memberikan keuntungan yang lebih kepada Baginda berbanding orang lain. Khadijah sungguh tertawan dengan sifat amanah dan peribadi mulia Baginda.

Dengan perantaraan Nafisah binti Manbah, Khadijah telah menawarkan dirinya kepada Nabi Muhammad S.A.W untuk menjadi teman hidupnya yang halal. Tawaran ini disambut baik oleh Baginda dan terus melamar Khadijah melalui bapa saudaranya ‘Amru bin Asad. Semasa itu Nabi S.A.W berusia 25 tahun, sedang Khadijah 40 tahun. Perkahwinan ini berlangsung dan membunga sehingga wafatnya Khadijah dalam usia 65 tahun, sedangkan Rasulullah S.A.W berusia 50 tahun. Namun, tidak terlintas di hati sanubari Baginda untuk berkahwin lain, memadai dengan Khadijah seorang walaupun Khadijah adalah janda dengan umur hampir 2 kali ganda.

Dengan bukti ini, menolak penghinaan, celaan dan racun-racun fitnah ke atas Nabi S.A.W oleh golongan Missionary Kristian dan para Orientalis, mendakyahkan Baginda sebagai seorang lelaki yang telah tenggelam ke dasar lautan hawa nafsu dan syahwat. Manusia bersyahwat tinggi mustahil sanggup hidup dengan seorang janda yang sudah lanjut usia. Mengenai perkahwinan Baginda selepas wafatnya Khadijah, sebenarnya setiap perkahwinan itu mempunyai hikmah dari Ilahi.

- Advertisement -

Khadijah seorang isteri yang lemah lembut dan penuh kasih sayang. Sebagai seorang isteri ideal yang selalu menghiburkan, prihatin dan menenangkan Nabi S.A.W serta menolong Beliau, baik sebelum mahupun sesudah diutus menjadi Rasul. Di ketika Rasulullah S.A.W didatangi oleh Malaikat Jibril di Gua Hira’ menurunkan wahyu pertama kepada Baginda, ‘bacalah’ sebanyak 3 kali dan dijawab dengan jawapan yang sama oleh Nabi pada setiap arahan Jibril, ‘saya tidak boleh membaca’. Jibril memeluk Baginda erat-erat, lalu melepaskannya dan membacakan surah Al-Alaq ayat 1 hingga 5.

Setelah itu Nabi S.A.W pun segera pulang ke rumah dengan hati yang takut dan badan gementar menemui kekasih hatinya Khadijah. Sesampainya di rumah, berkatalah Beliau ‘selimuti aku’ berulang-ulang kali kata-kata itu diucapkannya, sehingga beliau diselimuti oleh isterinya. Baginda diam beberapa saat, dan sementara itu rasa takutnya hilang. Diceritakannya kepada Khadijah peristiwa yang telah terjadi ke atas dirinya di Gua Hira’. ‘Sungguh aku khuatir’ katanya.

Isteri pengasih ini menenangkan hati Nabi S.A.W dengan mengatakan:

“Tidak usah Engkau khuatir… sekali-kali tidak usah Kau khuatir. Demi Tuhan, Dia tidak akan menghinakanmu selama-lamanya sebab engkau adalah orang yang selalu memelihara silaturrahmi, membantu orang yang tidak punya apa-apa (orang susah), menghormati dan menjamu tetamu dan menolong orang yang menderita dalam membela kebenaran.”

Kemudian Allah mengilhamkan Khadijah agar membawa Baginda menemui bapa saudaranya, Waraqah bin Naufal. Seorang yang beragama Nasrani dan pernah menyalin Kitab Injil ke dalam Bahasa Ibrani, beliau sudah tua dan buta. Indahnya akhlak Khadijah, beliau tidak menceritakan sendiri apa yang berlaku pada Rasulullah tapi meminta Waraqah mendengar sendiri dari mulut Nabi. Akhirnya Waraqah mengatakan, “Apa yang memeranjatkan Baginda tidak lain dari wahyu dari Allah yang disampaikan oleh Jibril sebagaiana pernah diturunkan Allah ke atas Nabi Musa dan para Anbiya’ lain yang terdahulu.” Dan katanya lagi, “Kamu akan dimusuhi dan diusir, dan kalau ketika itu aku masih hidup, pasti aku akan menolongmu,” ujarnya meyakinkan. Kata-kata Waraqah ini adalah untuk mengurangkan kesangsian dan perasaan yang menakutkan Baginda, yang menyelubungi jiwanya.

Orang yang pertama sekali beriman dan memeluk Islam ialah isteri tercinta Baginda sendiri, Khadijah. Rasulullah S.A.W mengerjakan solat pertama kali pada hari Isnin, berjemaah dengan Khadijah. Waktu itu solat baru 2 rakaat iaitu pagi dan petang dengan dua rakaat untuk masing-masing waktu. 

Khadijah sebagai isteri yang solehah dan yakin akan kebenaran perkara yang didakwahkan suaminya, serta melibatkan sepenuh masa, harta dan jiwanya dalam dakwah Nabi. Hal ini akan membantu mengatasi segala ujian dan kesulitan yang dihadapi Rasulullah S.A.W. Juga menguatkan lagi dan meneguhkan hati Nabi dalam meneruskan cita-cita dan gerak kerja dakwah di awal kebangkitan Islam.

Pengorbanan telah dilakukan oleh Saidatina Khadijah terhadap Rasulullah S.A.W tidak boleh dipertikaikan lagi. Iaitu merupakan satu teladan terindah untuk Muslimah akhir zaman mengenai bagaimana peranan yang harus dimainkan oleh para isteri bagi menyokong dan mendukung dakwah suami demi menegakkan kebenaran. Peranan yang dimaksudkan itu adalah sebagai menyumbang kepada kejayaan suami di satu pihak dan pembakar semangat suami di satu pihak lain untuk terus istiqamah dalam dakwah dan perjuangan.

Pada tahun ke 10 kenabian, 3 tahun sebelum hijrah dari Makkah, wafatlah isteri tercinta, bidadari yang selama perkahwinan yang bahagia ini menjadi penghibur dan penyeri hati dan hidup Baginda Rasulullah S.A.W. Yang dengannya juga Rasulullah dikurniakan enam zuriat, Al Qasim, Abdullah, Zainab, Ruqayyah, Ummu Kalthum dan Fatimah dan tidak pada isteri-isteri yang lain. Dia adalah srikandi yang mampu meringankan penderitaan Nabi S.A.W, disebabkan tindakan kasar orang-orang Kafir Quraish. Peristiwa ini sangat-sangat menimbulkan kesedihan mendalam di hati Rasulullah, di samping itu juga dengan kewafatan bapa saudara Nabi Abu Thalib pada tahun yang sama.

Dengan wafatnya dua pembela hidup Baginda ini, dinamakanlah tahun kesepuluh kenabian ini dengan ‘Tahun Dukacita’. Kesedihan kerana ditinggalkan oleh isteri yang sudah beriman dan ikut bertanggungjawab terhadap kejayaan dakwah. Tentulah ia merupakan kesedihan yang timbul dari sikap ikhlas dan tulus dalam menjalankan dakwah. 

Selama hayatnya, Baginda sentiasa mengenang jasa Khadijah. Selalu memperlihatkan kasih sayang dan selalu berbuat baik kepada sahabat-sahabatnya semasa hidupnya. Siti Aisyah sendiri cemburu lantaran seringnya Rasulullah memuji-muji Khadijah. 

Imam Bukhari meriwayatkan kata-kata Aisyah sebagai berikut: 

“Cemburuku kepada isteri-isteri Rasulullah yang lain, tidaklah sebesar cemburuku kepada Khadijah. Memang aku tidak sempat bertemu muka dengannya, tetapi Nabi S.A.W selalu menyebut-nyebutnya. Beliau pernah memotong kambing dan setelah dipotong-potong, dibahagi-bahagikan daging itu kepada sahabat-sahabat Khadijah. Pernah aku mengatakan kepadanya, agaknya Khadijah itu merupakan satu-satunya wanita di dunia ini ya Rasulullah? Nabi menjawab dengan mengatakan, Khadijah seorang wanita yang demikian… demikian… demikian, dan saya dikurniakan keturunan darinya”.

Kesimpulannya

Begitulah Khadijah isteri Rasulullah, yang sentiasa bertakhta di hati Baginda…:

“Demi Allah, Dia tidak pernah menggantikannya dengan wanita yang lebih baik darinya. Dia telah beriman di ketika semua manusia kufur. Dia membenarkan Aku di ketika manusia mendustakan Aku. Dia menolongKu dengan apa yang dimilikinya pada saat manusia menahan (pertolongan) untukku. Allah jua telah menganugerahi aku anak daripadanya, tidak dari isteri yang lain.”

Khadijah merupakan guru, teladan dan contoh bagi setiap isteri terutama untuk Muslimah dalam membina rumah tangga haraki dalam perjuangan.

FARIDAH KAMARUDDIN
Kuantan – HARAKAHDAILY 3/11/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -