Tiada darurat namun Muhyiddin kekal PM

- Advertisement -

MEMANG Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang bertahan memerintah negara dengan majoriti yang tipis, paling tipis dalam sejarah untuk sesebuah kerajaan peringkat Persekutuan dalam negara. Hakikat ini diketahui semua dan bukan lagi rahsia.

Namun demikian ia dapat terus memerintah kerana wakil-wakil rakyat yang menyokong kerajaan ini teguh pendirian masing-masing menolak sebarang ancaman dari Anwar Ibrahim, DAP mahupun bekas PM Tun Dr Mahathir. Mereka sedar rakyat kini muak dan menolak PH kerana kegagalan mereka menepati janji sepanjang 22 bulan pemerintahan mereka.

Kesepakatan parti-parti yang mendukung kerajaan baru PN ini tidaklah kukuh, tetapi masing-masing sedang memain peranan untuk pastikan kerjasama yang lebih bermakna dapat dibina sebelum menghadapi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.

- Advertisement -

Dengan keadaan majoriti tipis ini Muhyiddin sedar yang kerajaannya sentiasa terbuka pada ancaman Undi Tidak Percaya kerana jika ditakdirkan sebilangan yang menyokongnya berpaling tadah, bermakna Kerajaan PN akan roboh dan jawatan PM akan sekali lagi bertukar tangan.

Semuanya berjalan lancar tiada sebarang ancaman sehinggalah Presiden PKR Anwar Ibrahim tiba-tiba muncul dengan pengisytiharan bahawa Kerajaan Muhyiddin telah jatuh. Jatuh kononnya kerana beliau kini punya cukup bilangan ahli-ahli Dewan, kononnya jika diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Anwar boleh terus dinobatkan sebagai PM ke-9.

Walau bagaimanapun setelah diperkenankan masuk ke Istana, Anwar gagal meyakinkan Tuanku. Anwar yang berjalan lenggang masuk ke Istana Negara gagal mengemukakan bukti, tiada perakuan bersumpah, tiada senarai Ahli-ahli Parlimen yang menyokongnya sehingga akhirnya Tuanku melepaskannya dengan amaran agar beliau mematuhi undang-undang dan peraturan negara kiranya benar ada bukti dan tuntutan seumpama ini lagi.

Dengan insiden berkenaan Muhyiddin sedar laluan buatnya untuk kekal sebagai PM hingga ke hujung penggal bukanlah sesuatu yang mudah. Beliau berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang kini melalui gelombang keduanya mengancam seluruh negeri di Malaysia dan kini krisis keyakinan yang memuncak terutama setelah Anwar membuat tuntutannya untuk mendapatkan jawatan PM.

Dalam pada itu di penghujung tahun ini kerajaan bertanggungjawab membentang pula Belanjawan untuk tahun 2021. Belanjawan yang memuatkan pendapatan dan perbelanjaan negara perlu dibawa ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk kelulusan. Muhyiddin bimbang kiranya tidak padu PN di Dewan Rakyat tidak mustahil Belanjawan PN boleh ditolak walaupun sebelum ini lancar sahaja urusan PN di Dewan Rayat terutama ketika melantik Yang Di-Pertua Dewan selain melulus beberapa rang undang-undang.

Kini dengan asakkan Anwar apa sahaja boleh berlaku, lalu Muhyiddin sesungguhnya berada dalam situasi yang tertekan, beliau cemerlang dalam pentadbiran negara tetapi berhadapan dengan COVID-19 dan ancaman Anwar.

Sungguh pun demikian Muhyiddin sedar kiranya terpaksa berlaku Pilihan Raya Umum yang awal, peluang untuk beliau mengukuhkan kedudukan PN cukup besar. Kemenangan Muafakat Nasional dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil membuktikan yang rakyat Malaysia khususnya umat Melayu bersedia memberikan kepercayaan kepadanya, demikian juga dengan kemenangan GRS dalam Pilihan Raya Umum Negeri Sabah baru-baru telah menjadi indikator yang cukup kuat bagi membuktikan kekuatan Muhyiddin dan pasukannya. 

Lantas Muhyiddin sesungguhnya mempunyai opsyen membubarkan Parlimen dan memanggil PRU ke-15. Jika ini berlaku sudah pasti pembahagian kerusi di Dewan Rakyat akan berubah apabila para pengundi khususnya umat Melayu Islam berdiri teguh di belakang beliau sekali gus melumpuhkan kekuatan PH khususnya di kawasan majoriti Melayu.

Tetapi dalam suasana pandemik COVID-19 ini dan dengan pengalaman apa yang berlaku di Sabah setelah PRN, Pilihan Raya Umum bukanlah opsyen yang baik buat ketika ini. Keselamatan dan kesihatan rakyat perlu diutamakan dan diberi perhatian.

Lalu terbitlah opsyen mengisytiharkan darurat dengan perkenan Agong. Jika darurat diisytiharkan, Parlimen akan tergantung dan dengan itu banyak urusan kerajaan dapat berjalan lancar kerana tidak lagi terganggu dengan penolakkan blok pembangkang yang besar itu. Kerja-kerja menangani pandemik ini boleh diberi keutamaan sehinggalah ia dikawal dan dengan itu PRU dapat dipanggil setelah suasana kembali reda.

Malangnya cadangan ini telah ditolak oleh Agong atas alasan tidak ada keperluan di waktu ini. Walau bagaimanapun pihak Istana merasakan Muhyiddin telah dan sedang melakukan kerja yang baik dalam menangani pandemik ini selain mengurus negara. Tuanku mengingatkan ahli-ahli politik agar memberhentikan segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Dalam erti kata lain Kerajaan PN perlu didukung semua, dan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen perlulah diberi laluan demi negara agar kerja-kerja menangani pandemik ini dapat berjalan dengan berkesan selain melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka yang di barisan hadapan.

Keputusan Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Raja-raja Melayu yang lain ini walaupun menolak cadangan Perdana Menteri tetapi hakikatnya dilihat dari sudut lain memberi kekuatan pula pada beliau kerana PM diberikan ‘lesen besar’ melalui keputusan ini untuk menjalankan tugasnya tanpa diganggu. 

Ini juga bermakna jangan ada mana-mana pihak tergiur atau bernafsu mahu menjatuhkan kerajaan ini atau merampas jawatan Perdana Menteri yang hanya akan memporak-perandakan usaha kerajaan.

Perisai besar melindungi Muhyiddin ini sewajarnya dihargai dan jika dengannya segala urusan kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik dan pandemik ini dikawal, ianya akan melonjakkan lagi sokongan rakyat terhadap Kerajaan PN. 

Tatkala itu apabila keadaan terkawal, maka wajarlah Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU tiada lagi keadaan tipis wujud selepas daripada ini. Keputusan ini mencerminkan kebijaksanaan Raja-raja Melayu dan betapa pentingnya Institusi ini dalam membela dan mempertahankan kedaulatan negara.

Peranan Raja-raja Melayu kini cukup besar dan berkuasa dalam negara Malaysia yang Merdeka yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Kepentingan dan nasib rakyat terpancar dari kemantapan keputusan Yang di-Pertuan Agong ini sekali gus memberi isyarat bahawa Institusi ini bakal kekal dalam negara sampai bila-bila.

Semoga kerajaan terus perkasa dalam menangani pandemik ini dan semoga Kerajaan PN kekal sehingga PRU di bawah keadilan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.

Daulat Tuanku. 

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 29/10/2020

- Advertisement -