Perundangan diyat untuk mangsa kemalangan

- Advertisement -

PENDAHULUAN

Pada 26 Ogos 2020 yang lepas, Kerajaan telah meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) (APJ 1987) selepas pindaan yang terakhir dilakukan pada tahun 2018. Pindaan kali ini sangat dinantikan rakyat memandangkan terdapat peningkatan ketara kes kemalangan maut yang melibatkan pemandu mabuk dilaporkan pada tahun ini. Antara kes yang mengundang kemarahan rakyat adalah apabila petugas barisan hadapan iaitu Koperal Safwan Muhammad Ismail terkorban ketika menjalankan tugas angkara pemandu mabuk.

Secara keseluruhannya, Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 ini mengandungi 15 fasal pindaan dan menyentuh 13 Seksyen APJ 1987. Pindaan-pindaan yang utama adalah membabitkan peningkatan hukuman iaitu yang berkaitan dengan kadar denda, tempoh penjara dan penggantungan lesen memandu. 

- Advertisement -

Pindaan daripada Seksyen 41 hingga 45 ini melibatkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara melulu. Turut dipinda, takrifan semula kenderaan ‘mikromobiliti’, termasuk basikal lajak sebagai kenderaan motor, dan meminda had kandungan alkohol mengikut kadar yang disyorkan oleh World Health Organisation (WHO).

Kesemua pindaan ini adalah sangat wajar sebagai satu bentuk pencegahan (deterrence) kepada orang ramai. Namun begitu, pindaan-pindaan yang dibawa ini dilihat lebih menumpukan kepada pemandu mabuk atau pelaku kesalahan yang mencederakan mangsa. Sedangkan, mangsa dan ahli keluarga mangsa juga memerlukan perhatian dan pembelaan sewajarnya. Dalam hal ini, undang-undang sedia ada juga perlu dipinda bagi memberi perlindungan kepada mangsa atau ahli keluarga mangsa. 

Tidak dapat dinafikan, mekanisma perlindungan dalam bentuk pampasan atau diyat sebenarnya telah pun wujud dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia. Namun begitu, penambahbaikan terhadap peruntukan undang-undang sedia ada sangat diperlukan bagi memastikan ia dapat membela kepentingan mangsa atau ahli keluarga mangsa sebaik mungkin.

Oleh yang demikian, wujud keperluan bagi pemerkasaan undang-undang diyat bagi mangsa kemalangan dilakukan melalui pindaan terhadap undang-undang yang berkaitan, termasuklah Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) (KTJ) dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) (APJ 1987).

Konsep diyat dan keperluan untuk mangsa kemalangan

Secara umumnya, diyat adalah satu bentuk hukuman yang mewajibkan tertuduh yang disabitkan atau keluarganya membayar pampasan kepada mangsa atau ahli keluarga mangsa sejumlah wang mengikut kadar tertentu. Mengikut prinsip perundangan Islam, diyat boleh diklasifikasikan kepada dua bentuk, iaitu yang pertama, diyat sebagai hukuman gantian. 

Diyat dalam kategori ini terpakai apabila penjenayah mendapat pengampunan daripada ahli keluarga mangsa atau apabila ahli keluarga mangsa menuntut diyat sebagai ganti qisas. Bentuk yang kedua pula adalah diyat sebagai hukuman asal iaitu dalam situasi perbuatan salah yang tercuai. Situasi kecuaian yang menjadi penyebab kemalangan jalan raya (tasabbub) boleh dimasukkan dalam kategori ini. 

Di Malaysia, konsep diyat ini pernah diutarakan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah seawal tahun 2017. Pada ketika itu, KDYM telah mengutarakan agar Jemaah Pengampunan Pahang mengguna pakai kaedah pengampunan daripada keluarga mangsa mengikut Undang-undang Islam atau diyat sebagai alternatif terhadap banduan yang berhadapan dengan hukuman mati bagi sabitan membunuh.

KDYM ketika itu turut bertitah bahawa konsep diyat adalah sesuai untuk dipraktikkan kepada bangsa-bangsa lain, tidak tertakluk kepada orang Islam semata-mata, bagi menunjukkan ketinggian dan kebaikan agama Islam. Sebagai rakyat yang patuh dan taat setia kepada KDYM, seharusnya semua pihak perlu menggerakkan segenap usaha ke arah memperkukuhkan harmonisasi Undang-undang Jenayah Sivil dan Syariah di Malaysia bagi menjayakan seruan KDYM ini.

Walaupun seruan KDYM itu lebih tertumpu kepada aplikasi diyat dalam kes pembunuhan dengan sengaja, kaedah ini masih boleh disesuaikan dalam kes kemalangan secara lebih praktikal, memandangkan asasnya telah pun wujud dalam undang-undang jenayah sedia ada. Tambahan pula, mekanisma perlindungan seperti pampasan atau diyat ini sangat diperlukan oleh mangsa atau ahli keluarga mangsa kemalangan yang akan menanggung impak dan kerugian seperti kecederaan kekal atau kematian apabila sesuatu kemalangan berlaku. 

Aplikasi konsep diyat dalam perundangan sedia ada

Semangat daripada konsep diyat ini sering dikatakan telah wujud dalam Akta Undang-undang Sivil 1956 (Akta 67) (AUS 1956). Hal ini kerana, dalam sistem perundangan hari ini, mangsa atau ahli keluarga mangsa selalunya akan menuntut pampasan melalui tuntutan sivil di Mahkamah Sivil. 

Berdasarkan kepada AUS 1956 ini, mangsa atau ahli keluarga mangsa boleh menuntut dua jenis ganti rugi iaitu ganti rugi khas dan am. Ganti rugi khas adalah bayaran yang boleh dituntut atas kerugian yang bersifat kewangan seperti kos rawatan dan kerosakan pada harta. Manakala, ganti rugi am pula lebih menjurus kepada kerugian yang bersifat jangkaan dan abstrak seperti kesakitan dan penderitaan, kehilangan upaya, pengurangan jangka hayat hidup dan lain-lain. 

Walaupun akta ini membuka ruang bagi bayaran pampasan dibuat di Mahkamah Sivil, ia dilihat masih menyulitkan mangsa. Kadangkala, mangsa perlu menunggu kes jenayah yang melibatkan tertuduh selesai terlebih dahulu, sebelum mangsa memulakan tuntutan kemalangan sivil untuk menuntut ganti rugi atau pampasan.

Hal ini kerana, mangsa hanya boleh dipanggil sebagai saksi, tetapi tidak boleh memohon pampasan secara terus dalam mahkamah jenayah.  Justeru, tempoh masa akan menjadi lebih lama sebelum mangsa memperoleh pampasan yang sepatutnya. Selain itu, ia juga turut melibatkan kos sekitar 20 peratus sehingga 30 peratus daripada jumlah keseluruhan tuntutan yang diuruskan oleh pihak Peguamcara. 

Dari satu sudut yang lain, tuntutan melalui Mahkamah Sivil biasanya dibuat terhadap kenderaan yang dilindungi oleh insurans. Bergantung kepada polisi insurans yang telah ditetapkan, sesetengah syarikat insurans tidak melindungi pemandu mabuk atau pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah. Hal ini bermaksud sekiranya mangsa atau ahli keluarga mangsa mahu membuat tuntutan sivil, pemandu mabuk tersebut perlu menanggung sendiri bayaran pampasan yang diperintahkan oleh mahkamah. 

Realitinya, kebanyakan peguam tidak mahu mewakili mangsa atau ahli keluarga mangsa di mahkamah memandangkan keputusan mahkamah hanya akan menjadi penghakiman di atas kertas (paper judgment) dan tidak ada nilai. Apabila hal ini berlaku, dalam banyak situasi, tertuduh tidak mampu untuk membuat bayaran yang bernilai ratusan ribu Ringgit kepada mangsa atau ahli keluarga mangsa.

Walaupun mangsa atau ahli keluarga mangsa mempunyai pilihan untuk mendapatkan bayaran melalui permohonan writ penyitaan dan penjualan atau melalui pengisytiharan kebankrapan, ia dilihat tidak praktikal kepada mangsa. Dalam kerangka undang-undang yang ada ini, hak mangsa masih belum benar-benar terbela.

Pada masa yang sama, asas, semangat serta kerangka model diyat juga telah wujud di bawah Seksyen 426 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) (KTJ). Seksyen ini memperuntukkan bahawa, selain daripada hukuman denda atau penjara, mahkamah juga boleh memerintahkan tertuduh untuk membayar pampasan kepada mangsa atau ahli keluarga mangsa, sekiranya kes tersebut melibatkan apa-apa kecederaan, kerugian, kehilangan, mahupun kematian di pihak mangsa. Namun begitu, seksyen ini hanya boleh digunakan sekiranya permohonan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya dan masih kurang diaplikasikan secara menyeluruh dalam kes-kes jenayah.

Misalnya, perintah untuk pampasan diberikan kepada ahli keluarga mangsa kemalangan pernah dibuat oleh Mahkamah Majistret Tawau terhadap tertuduh yang disabitkan di bawah Seksyen 41 APJ 1987. Dalam kes ini, mahkamah telah memerintahkan tertuduh untuk membayar pampasan kepada dua orang waris mangsa sebanyak RM4,000.00 setiap orang.

Selain daripada kes kemalangan, peruntukan ini juga boleh diguna pakai untuk memberi pampasan kepada mangsa dalam kes-kes jenayah yang lain. Sebagai contoh, dalam kes Pendakwa Raya lwn. Low Lu Keng, Mahkamah Tinggi telah mengarahkan pesalah yang telah mengaku bersalah di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh tanpa niat, untuk membayar RM10,000.00 kepada balu mangsa bunuh. Hakim, pesalah dan mangsa yang terlibat dalam kes ini semuanya ialah individu-individu bukan beragama Islam, menunjukkan bahawa konsep pampasan atau diyat bersifat universal dan sesuai digunakan oleh semua bangsa dan agama.

Peruntukan-peruntukan ini menunjukkan konsep dan semangat diyat sebenarnya telah pun wujud dalam pemakaian Undang-undang Sivil sedia ada mengikut kerangka undang-undang di Malaysia. Bezanya, diyatdalam Islam bersumberkan wahyu. Oleh kerana itu, ia mempunyai kadar pampasan yang jelas dan dalam beberapa keadaan, nilainya tidak bergantung kepada penilaian dan ketetapan mahkamah.

Namun, diyat juga bukanlah suatu konsep yang begitu asing sehingga kerajaan perlu menggubal undang-undang khusus bagi melaksanakannya. Justeru, pemakaian kaedah diyat mengikut prinsip Perundangan Islam boleh diusahakan sedikit demi sedikit dengan memperkemas konsep pampasan yang sedia ada dalam undang-undang jenayah di Malaysia agar penggunaannya lebih menyeluruh dan menepati hikmah dan tujuan pensyariatannya. 

Cadangan pemerkasaan konsep diyat dalam undang-undang yang melibatkan mangsa kemalangan

Jelaslah di sini bahawa undang-undang sedia ada sebenarnya telah menyediakan ruang yang cukup bagi pelaksanaan konsep diyat. Pada masa yang sama, tidak dapat dinafikan wujud kelemahan dalam peruntukan sedia ada hingga menyebabkan aplikasi konsep diyat tidak dapat diguna pakai secara optimum untuk melindungi mangsa atau ahli keluarga mangsa. Bagi mengatasi hal ini, beberapa pindaan perlu dilakukan bagi tujuan memperkasa konsep diyat dalam undang-undang sedia ada agar pelaksanaannya boleh berjalan dengan lancar. 

(1) Memberi kuasa kepada mahkamah untuk memberikan pampasan kepada mangsa atau ahli keluarga mangsa tanpa perlunya kepada permohonan daripada pihak pendakwaraya terlebih dahulu.

Seksyen 426 KTJ membenarkan mahkamah memberi pampasan sekiranya terdapat permohonan daripada Timbalan Pendakwaraya. Maka, adalah lebih baik dan sewajarnya, bagi setiap kes kemalangan yang melibatkan pertuduhan sebagai kes jenayah di mahkamah, keperluan untuk memberi pampasan kepada mangsa atau ahli keluarga mangsa melalui Seksyen 426 ini dilakukan oleh pihak mahkamah secara wajib, tanpa perlu menunggu permohonan oleh pihak pendakwaraya. 

Dengan cara ini, proses pemberian pampasan akan menjadi lebih mudah mengikut keperluan kes. Hal ini kerana, mengikut peruntukan sedia ada, mahkamah tidak mempunyai kuasa sekiranya pemberian pampasan tidak dimohon oleh pihak pendakwaraya, walaupun pada pertimbangan mahkamah, mangsa berhak diberikan pampasan sewajarnya. Perkara ini adalah lebih baik kepada mangsa berbanding hukuman denda yang akan dibayar sepenuhnya kepada kerajaan dan mangsa tidak akan mendapat apa-apa daripada tertuduh. 

Pindaan ini juga dapat memberikan perlindungan kepada mangsa kemalangan yang melibatkan kenderaan yang tidak memiliki perlindungan insurans. Walaupun terdapat Motor Insurers’ Bureau (MIB) yang menyediakan dana khas untuk melindungi pengguna jalan raya yang dilanggar kenderaan yang tiada perlindungan insurans, namun, jumlah dana dan kadar tuntutan yang diberikan secara relatifnya adalah kecil dan tidak mampu memberi satu bentuk kadar perlindungan yang baik kepada pemohon.

Justeru, melalui pindaan terhadap Seksyen 426 KTJ ini, mangsa yang terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan yang tidak dilindungi insurans juga berhak mendapat pampasan yang munasabah dan sewajarnya daripada tertuduh. 

(2) Ahli keluarga mangsa wajib dipanggil ke mahkamah untuk memberi kesan pernyataan mangsa (victim impact statement) terutamanya dalam kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk.

Selain itu, merit pemberian pampasan dapat diadili sewajarnya melalui penyataan mangsa sebagai saksi. Kesan pernyataan mangsa membolehkan pihak mahkamah menilai sendiri kesan kejadian kemalangan tersebut kepada diri mangsa atau ahli keluarga mangsa. Dengan cara ini juga, ia membolehkan keadilan dapat diberikan secara sewajarnya kepada pihak mangsa atau ahli keluarga mangsa. 

Dalam hal ini, peruntukan di bawah Seksyen 183A KTJ menyatakan bahawa mangsa atau wakil keluarga mangsa boleh hadir sendiri ke mahkamah untuk memberi kesan pernyataan mangsa.  Namun begitu, pada waktu ini, seksyen ini memerlukan kepada permohonan daripada keluarga mangsa. 

Seringkali berlaku keadaan mangsa atau ahli keluarga mangsa tidak tahu akan hak mereka untuk berbuat demikian hingga menyebabkan keterangan mereka tidak dikemukakan di hadapan mahkamah, walaupun hakikatnya faktor ini merupakan faktor mitigasi pemberat atau peringanan hukuman yang akan diberikan oleh mahkamah.

Justeru, adalah dicadangkan bahawa pindaan terhadap Seksyen 183A ini perlu dilakukan agar pihak mahkamah boleh memanggil mangsa atau wakil keluarga mangsa untuk hadir sendiri ke mahkamah bagi memberi kesan pernyataan mangsa secara wajib, tanpa perlu menunggu permohonan oleh pihak mangsa atau ahli keluarga mangsa.

(3) Mewujudkan mekanisma yang dapat meringankan hukuman tertuduh setelah pampasan diberikan dalam kes kemalangan yang disebabkan oleh kecuaian yang tidak disengajakan.

Seterusnya, konsep diyat dalam Islam juga turut menganjurkan pemberian kemaafan daripada mangsa. Dalam jenayah qisas contohnya, diyat boleh menggantikan hukuman yang berat sekiranya kerugian atau kecederaan yang dialami boleh dimaafkan oleh mangsa. 

Di Malaysia, bagi kes-kes seperti di bawah Seksyen 41 APJ 1987 (iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan), rekod menunjukkan walaupun wujud kemaafan di pihak mangsa atau ahli keluarga mangsa, pihak pendakwaan tetap mengenakan pertuduhan yang berat kepada tertuduh.

Walhal, satu bentuk pertuduhan pilihan yang memberikan alternatif hukuman yang lebih ringan kepada tertuduh seperti hukuman denda tanpa penjara sepatutnya boleh sahaja ditawarkan. Keadaan ini menunjukkan bahawa faktor kemaafan di pihak mangsa atau ahli keluarga mangsa terhadap kesalahan tertuduh tidak mempunyai apa-apa merit di sisi undang-undang.

Sedangkan, umum mengetahui bahawa proses pendakwaan tehadap tertuduh bagi kes kemalangan (terutamanya dalam kes kemalangan maut) adalah bertujuan untuk memastikan kepentingan awam khususnya kepentingan pihak mangsa atau ahli keluarga mangsa terpelihara. Hal ini bagi memastikan pihak mangsa atau ahli keluarga mangsa tidak diabaikan dan mendapat pembelaan sewajarnya. Namun, sekiranya telah wujud kemaafan di pihak mangsa atau ahli keluarga mangsa, maka tiada keperluan mendesak untuk tertuduh dikenakan hukuman yang berat seperti penjara mandatori.

Kedudukan undang-undang yang ada seperti hari ini dilihat sulit, mendukacitakan pihak-pihak yang terlibat, serta dikhuatiri tidak memberi keadilan kepada tertuduh atas beberapa sebab. Pertama, walaupun dalam kes kemalangan maut, pesalah tidak perlu sehingga masuk ke dalam penjara bagi kesalahan yang bukanlah diakibatkan secara mutlak oleh gaya pemanduan tertuduh yang cuai, melulu atau merbahaya, terutamanya dalam situasi di mana wujud faktor sumbang cuai luaran seperti keadaan jalan, faktor cuaca, faktor kerosakan mekanikal dan lain-lain faktor. 

Sewajarnya, bagi kes-kes yang melibatkan kecuaian yang tidak disengajakan, hukuman penjara perlu dielakkan. Hal ini amat penting memandangkan hukuman penjara bukan hanya ditanggung oleh tertuduh semata-mata, tetapi akan turut menjejaskan ahli keluarga yang berada di bawah tanggungannya. Keringanan daripada hukuman penjara setelah wujud kemaafan juga dapat membantu dalam mengurangkan masalah kesesakan dalam penjara dan turut memberi keadilan kepada pihak tertuduh.

Kedua, seringkali juga berlaku keadaan di mana tertuduh terus mengaku salah, terutamanya apabila tertuduh tidak diwakili oleh mana-mana peguambela. Situasi ini terjadi apabila tertuduh tidak mampu melantik peguambela kerana proses perbicaraan dalam kes-kes seumpama ini memerlukan kos guaman yang tinggi. Hal ini sekali gus akan turut memberi gambaran bahawa, keadilan itu mungkin tidak dapat dilaksanakan sekiranya seseorang tertuduh ini tidak mempunyai sumber kewangan yang baik bagi melantik peguambela untuk mewakilinya di mahkamah.

Oleh itu, di dalam kes-kes jenayah melibatkan kemalangan yang membawa kepada hukuman penjara, sekiranya di pihak mangsa atau ahli keluarga mangsa telah memberi kemaafan (iaitu yang membawa maksud bersetuju atau tiada bantahan untuk tertuduh menerima hukuman atau pertuduhan yang lebih ringan), maka perlu diwujudkan saluran atau mekanisma untuk perkara ini dilaksanakan.

Dengan ini, pindaan perlu dilakukan dengan memasukkan satu peruntukan baru ke dalam KTJ. Peruntukan ini akan memperincikan mekanisma yang akan meringankan pertuduhan atau hukuman terhadap tertuduh, sekiranya mangsa atau ahli keluarga mangsa diberikan pampasan di bawah Seksyen 426 KTJ dan Seksyen 183A KTJ sepertimana dinyatakan sebelum ini. Peruntukan ini juga akan memastikan bahawa walaupun kemaafan telah diberikan, pihak mangsa atau ahli keluarga mangsa tetap berhak kepada pampasan yang sewajarnya. 

(4) Menjadikan pampasan sebagai salah satu bentuk hukuman dalam APJ 1987.

Akhir sekali, bagi memenuhi hak dan keadilan kepada mangsa atau ahli keluarga mangsa terutamanya dalam kes kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk, pampasan perlu dimasukkan ke dalam pindaan secara jelas, sebagai salah satu bentuk cabang hukuman, selain daripada hukuman penjara dan denda yang telah ditingkatkan. 

Pindaan tersebut boleh menjadikan Seksyen 426 KTJ sebagai rujukan, di mana peruntukan berkaitan kewajipan pampasan diletakkan secara umum, bergantung kepada budi bicara mahkamah, yang akan membuat pertimbangan berdasarkan kepada merit kes. 

Penutup

Konsep diyat ini mungkin kedengaran asing bagi sesetengah pihak, namun ia sebenarnya telah pun berfungsi dalam Undang-undang Sivil dan juga undang-undang jenayah di Malaysia. Walaupun wujud beberapa perbezaan di antara konsep Islam dan peruntukan undang-undang yang ada, ia tidak menghalang proses harmonisasi dilakukan di antara kedua-duanya.

Hakikatnya, aplikasi konsep diyat berasaskan prinsip Islam dalam sistem keadilan akan menguntungkan semua rakyat, baik yang beragama Islam atau yang bukan beragama Islam. Pengiraan diyat mengikut kaedah Islam dalam Undang-undang Sivil akan menjadikan nilai pampasan jauh lebih tinggi daripada pengiraan yang dibuat oleh pihak insurans pada hari ini. 

Dalam undang-undang jenayah pula, penggunaan konsep diyat mengikut tatacara Islam akan menjadikan kebajikan mangsa sebagai keutamaan berbanding tumpuan hukuman kepada pesalah. Hal ini dibuktikan oleh model diyat dalam kesalahan qisas, di mana ia memberikan hak kepada ahli keluarga mangsa untuk membuat keputusan sama ada mahu meneruskan atau meringankan hukuman. 

Oleh yang demikian, asas Undang-undang Diyat yang ada untuk mangsa kemalangan dalam KTJ, APJ 1987 dan AUS 1956 perlu diperkasakan sedikit demi sedikit mengikut prinsip dan kaedah Islam agar ia dapat berkembang selaras dengan nilai dan keperluan masyarakat hari ini. 

Pada masa yang sama, usaha perlu dilakukan bagi memastikan konsep diyat ini boleh diluaskan kepada mangsa jenayah yang lain agar kematian, kecederaan atau kehilangan anggota dapat diberi pampasan seadilnya mengikut kadar syarak selaras dengan titah KYDM kepada Jemaah Pengampunan Pahang sebelum ini.

Walaupun perjalanan untuk mengharmonisasikan Undang-undang Jenayah Islam dan Sivil secara menyeluruh dan sempurna akan mengambil masa yang lama, usaha tetap perlu diteruskan sebagaimana pesan Allahyarham Tan Sri Prof Dr Ahmad Ibrahim, “Oleh kerana Undang-undang Jenayah Islam dicipta oleh Allah, Allah juga akan menolong kita  di dalam pelaksanaannya”.

Bibliography

Dr Shahidra Abdul Khalil. (7 Jun, 2020). Lindungi hak waris, mangsa pemandu mabuk. Retrieved from BH Online: https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2020/06/697373/lindungi-hak-waris-mangsa-pemandu-mabuk

Prof Madya Dr Siti Zubaidah Ismail . (17 Januari, 2020). Hapus qisas ganti pampasan tak tepati syarak. Retrieved from BH Online: https://www.bharian.com.my/kolumnis/2020/01/647460/hapus-qisas-ganti-pampasan-tak-tepati-syarak

Bernama. (3 Mei, 2017). Jemaah pengampunan Pahang cadang laksana kaedah diyat. Retrieved from Malaysiakini: https://www.malaysiakini.com/news/381005

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri. (28 Jun, 2019). Bayan Linnas Siri Ke-185 : Cadangan Pelaksanaan Diat dalam Sistem Keadilan di Malaysia. Retrieved from Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan: https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/3534-bayan-linnas-siri-ke-185-cadangan-pelaksanaan-diat-dalam-sistem-keadilan-di-malaysia

Mohamad, U. A. (2012). Islamic Human Rights versus International Human Rights Instruments. In A. G. Sein, Human Rights Law; International, Malaysian and Islamic Perspectives (p. 333). Petaling Jaya: Sweet & Maxwell Asia.

Muhammad Fathi Yusof. (n.d.). Melaksanakan Diyat Melalui Lembaga Pengampunan : Perspektif Perlembagaan. Retrieved from People@UTM: https://people.utm.my/fathi/melaksanakan-diyat-melalui-lembaga-pengampunan-perspektif-perlembagaan/

Muhammad Najib Abdullah. (2012). Diyat dalam Perundangan Islam. Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan: Universiti Sains Islam Malaysia.

Paizah Ismail . (2012). Pelaksanaan Diyat Dalam Kerangka Perundangan di Malaysia : Cabaran Fiqh Semasa. Jurnal Fiqh, No. 9 (2012) 1 – 20.

Penyata Rasmi Parlimen Dewan Rakyat Parlimen Keempat Belas Penggal Ketiga Mesyuarat Kedua. (26 Ogos, 2020). Penyata Rasmi (Hansard). Retrieved from Portal Rasmi Parlimen Malaysia: https://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-26082020.pdf

Raja Noraina Raja Rahim. (1 Jun, 2020). 9 kemalangan maut angkara pemandu mabuk. Retrieved from MyMetro: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/06/584929/9-kemalangan-maut-angkara-pemandu-mabuk

Ramizah Wan Muhammad. (2018). Keadilan Restoratif dan Retributif dalam Syariah dan di Malaysia : Satu Sorotan. Journal of Contemporary Islamic Law, Vol. 3 (1) (2018).

Siti Aisyah Samudin & Siti Zubaidah Ismail. (2018). Tuntutan Pampasan Bagi Kes Kemalangan Jalan Raya di Malaysia: Kaedah Alternatif Berasaskan Diyat. Journal of Shariah Law Research (2018) vol. 3 (1) 89 – 104.

Siti Khadijah Mohd Khair & Nuarrual Hilal Md Dahlan. (2019). Kuantum Pampasan Kecederaan Diri Kes Kemalangan Jalan Raya: Analisa Kajian Kes Menurut Undang-Undang Sivil Dan Perundangan. Jurnal Intelek Vol 14, Issue 2 (Dec 2019).

MUNA ‘ADILA CHE RIME
Felow Kluster Perlembagaan, Perundangan dan Hak Asasi Manusia
Institut Strategik dan Integriti Terengganu (TSIS)

AHMAD DENIEL ROSLAN
Peguambela dan Peguamcara – HARAKAHDAILY 27/10/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -