Desas-desus darurat, apa kata orang awam?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertemuan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz Indera Mahkota pada petang semalam menjadi tumpuan rakyat.

Lebih-lebih lagi pertemuan itu bertiup kencang dengan desas-desus bahawa Muhyiddin menghadap Al-Sultan Abdullah bagi mendapatkan perkenan untuk melaksanakan darurat.

- Advertisement -

Dalam kenyataan hari ini, pihak istana menerusi Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin mengesahkan mengenai pertemuan itu.

Diterangkan dalam kenyataan berkenaan dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam ini, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang dipersembah Muhyiddin.

Cadangan tersebut dipersembahkan setelah dicapai dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan mendapatkan perkenan baginda untuk pelaksanaannya.

Al-Sultan Abdullah bertitah amat prihatin dengan kegelisahan rakyat daripada perkembangan terkini.

Malah baginda amat memahami kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak Covid-19.

Sehubungan itu, baginda berkenan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat ini.

Rundingan terbabit bertujuan memperhalusi cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri itu.

Meninjau pandangan orang awam mengenai desas-desus darurat yang sedang hangat diperkatakan ini, rata-ratanya berpandangan kekalkan pentadbir kerajaan yang ada dan mahu kerajaan hari ini menumpukan sepenuhnya kepada usaha memerangi Covid-19.

Habshah Bakar, 59, berkata kepada Harakahdaily sebagai rakyat, beliau mahukan kerajaan sedia ada hari ini kekal sehingga kes pandemik ini dapat ditangani sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita pun tak faham situasi darurat itu macam mana, adakah ia lebih baik atau tidak. Tapi yang pasti kalau itulah langkah terbaik demi kelangsungan kestabilan negara memandangkan Yang di-Pertuan Agong yang ambil alih dan sidang Parlimen direhatkan.

Habshah Bakar

“Sekurang-kurangnya kita tahu bajet akan diluluskan tanpa melalui Parlimen dan barisan pentadbiran kerajaan di bawah tuanku.

“Kesimpulannya biarlah masalah pandemik ini ditangani terlebih dahulu dan ekonomi dipulihkan sebelum sebarang perubahan kerajaan dibuat,” kata Habshah yang juga merupakan bekas pensyarah di Universiti Utara Malaysia.

Turut senada Yusnita Yusof, 24, berkata sebagai rakyat negara ini beliau mahukan kestabilan politik supaya semua pihak baik pembangkang mahupun kerajaan mengutamakan kehidupan rakyat yang telah terjejas akibat Covid-19.

Ujarnya, usaha dan bantuan yang dilaksanakan kerajaan setakat ini sangat baik dan benar-benar membantu kehidupannya dan keluarga.

“Umum tahu, ketidakstabilan politik bukan setakat memberi kesan pada hal ehwal politik tetap semua bidang akan terganggu.

“Permintaan saya sebagai rakyat bawahan, bolehkah orang politik dan kumpulan yang inginkan sangat jawatan Perdana Menteri itu memberi ruang kepada kepimpinan yang ada untuk terus membantu rakyat dalam masa sama berusaha sebaik mungkin menangani wabak Covid-19.

“Dengan prestasi yang ditunjukkan dalam pentadbiran Muhyiddin ini, ia sangat baik dan tidak ada sebab untuk kita menukar ‘abah’ kita,” ujar Yusnita. – HARAKAHDAILY 24/10/2020

- Advertisement -