Ibrah Talut: Membentuk pejuang berkualiti

- Advertisement -

BUKAN sedikit yang kita boleh ambil ibrah dari kisah Raja Talut ini, bagi menghadapi masa-masa mendatang. Antaranya ialah jangan pandang kecil dan lemah kepada seseorang yang kelihatan serba  kekurangan, atau miskin. Jangan pandang rendah pada mereka yang sedemikian itu, kerana ada sesuatu yang akan melengkapi satu sama lain. Dan menghasilkan yang terbaik dari apa yang kita jangkakan. Insya-Allah.

- Advertisement -

Talut telah dipilih oleh Nabi Samuel untuk diangkat menjadi pemimpin di kalangan Bani Israel walaupun mendapat tentangan daripada kalangan pimpinan mereka. Di sinilah pada akhirnya dia akan bertempur dengan tentera Jalut yang ramai. Walaupun Talut dilihat sebagai seorang yang miskin tetapi ciri yang ada pada Talut telah membuatkan Talut terpilih sebagai pemimpin pada masa itu.

Kepimpinan Talut jelas terpapar bila mana dia sedar bahawa kekuatan bilangan dan fizikal sahaja tidak cukup untuk berdepan tentera Jalut. Allah merakam kebijaksanaan yang telah dianugerahkan kepada Talut dalam surah Al-baqarah ayat 249:

‎فَلَمَّا فَصَلَ طَالُوتُ بِالْجُنُودِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ مُبْتَلِيكُمْ بِنَهَرٍ فَمَنْ شَرِبَ مِنْهُ فَلَيْسَ مِنِّي وَمَنْ لَمْ يَطْعَمْهُ فَإِنَّهُ مِنِّي إِلَّا مَنِ اغْتَرَفَ غُرْفَةً بِيَدِهِ ۚ فَشَرِبُوا مِنْهُ إِلَّا قَلِيلًا مِنْهُمْ ۚ فَلَمَّا جَاوَزَهُ هُوَ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ قَالُوا لَا طَاقَةَ لَنَا الْيَوْمَ بِجَالُوتَ وَجُنُودِهِ ۚ قَالَ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُمْ مُلَاقُو اللَّهِ كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِين

“Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya”. (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): “Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya”. Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”.

Talut menguji kekuatan mental tentera

Bani Israel bukanlah pertama kali akan berdepan dengan tentera Jalut pada kali ini, mereka sudah berdepan dengan beberapa siri kekalahan malah peristiwa dihambat keluar daripada kampung halaman dan juga pembunuhan terhadap kaum keluarga masih lagi segar di sanubari mereka.

Maka persiapan mental dan psikologi amatlah penting, kerana kekuatan yang tersimpan berupa bentuk kemahuan, tekad dan azam yang tinggi akan membuatkan mereka terus bertahan melawan pihak musuh.

Kemahuan dan tekad yang sangat tinggi sehingga mampu mengenepikan segala bentuk syahwat dan kemahuan. Dan mengutamakan objektif perjuangan. Sehingga mampu menyatupadukan dan mengalirkan seluruh kekuatan pada corong yang tepat sehinggalah kemenangan itu menjadi milik.

Dalam kisah ini Talut menguji tenteranya dengan sebatang sungai. Mengikut Ibnu Abbas dan majoriti ulamak tafsir mengatakan sungai ini di Jordan.

Apabila tiba di sungai tersebut Talut mengarahkan tenteranya untuk tidak meminum air daripada sungai tersebut melainkan seceduk menggunakan tangan. Lalu ramailah yang gagal dengan ujian ini. Maka tinggallah segolongan yang kecil meneruskan perjuangan bersama Talut.

Ciri pejuang yang berkualiti

Dinukil dalam Tafsir Fi Zilal Quran mereka yang terus tsabat bersama perjuang Talut ini mempunyai dua ciri berikut:

Pertama: Ketabahan menghadapi godaan syahwat dan keinginan.

Kedua: Sabar menghadapi ujian sepanjang perjuangan.

Kesimpulan daripada dua ciri ini adalah kekuatan untuk bersabar berdepan dengan keinginan duniawi. Kesabaran itulah kekuatan dalaman yang tiada tolok bandingnya, sehingga Ibnu Qoyyim pernah menulis dalam kitabnya kunci kepada kemenangan adalah kesabaran.

Bukti kesabaran adalah kekuatan yang sangat luar biasa telah dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Anfal ayat 65-66:

‎يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ حَرِّضِ الْمُؤْمِنِينَ عَلَى الْقِتَالِ ۚ إِنْ يَكُنْ مِنْكُمْ عِشْرُونَ صَابِرُونَ يَغْلِبُوا مِائَتَيْنِ ۚ وَإِنْ يَكُنْ مِنْكُمْ مِائَةٌ يَغْلِبُوا أَلْفًا مِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَفْقَهُونَ

‎الْآنَ خَفَّفَ اللَّهُ عَنْكُمْ وَعَلِمَ أَنَّ فِيكُمْ ضَعْفًا ۚ فَإِنْ يَكُنْ مِنْكُمْ مِائَةٌ صَابِرَةٌ يَغْلِبُوا مِائَتَيْنِ ۚ وَإِنْ يَكُنْ مِنْكُمْ أَلْفٌ يَغْلِبُوا أَلْفَيْنِ بِإِذْنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ

“Wahai Nabi, perangsangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti.”

Kemenangan berpihak pada golongan sedikit (iaitu tentera Talut)

Dengan penuh yakin golongan yang berjaya melepasi ujian tersebut melaungkan slogan:

  كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ    

“Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah)”

Sejarah dulu dan kini tidak pernah berubah, golongan yang sedikit itu berjaya mengalahkan golongan yang banyak malah ditunjukkan pula dalam kisah Perang Badar 313 tentera Islam menentang Musyrikin Makkah sebanyak 1000 orang.

Tetapi jangan pula kita salah faham, bukan bermaksud kita berpuas hati sedikitnya orang bersama Islam, tetapi untuk mencapai kemenangan bukanlah kuantiti itu jadi penentu, dalil Naqli dan sejarah telah membuktikan kualiti mengatasi kuantiti. Apatah lagi sekiranya kita berjaya melahirkan peribadi Muslim yang berkualiti dengan jumlah kuantiti yang besar.

Kesimpulan

Jelas menunjukkan kepada kita, soal kemenangan terhadap Islam itu bukanlah dongeng dan angan-angan tetapi perlunya kerja keras, perancangan yang rapi, dan kepimpinan yang hebat. Semua ini tidak akan terlaksana tanpa pejuang yang mempunyai kualiti tinggi.

Menempik dan bercakap kosong tidak mengubah apa-apa, melainkan kita mula bertekad dan berazam untuk meningkat kualiti diri kita sedikit demi sedikit sehingga terzahir kemenangan itu. Umat kita telah jemu dengar kita berbicara tanpa hasil, mereka dahagakan realiti Islam yang sebenar.

Insya-Allah semoga kupasan yang sedikit dan serba kekurangan ini akan dapat memberangsang jiwa-jiwa kita yang masih luas ruang-ruang kosong. Sedikit sebanyak semoga ianya akan menjadi pengeras kepada batalion generasi muda Islam, selain sejarah Al Kahfi. 

Demi untuk membangkitkan semangat As Syabab untuk menentang parti baru MUDA yang ditubuh Syed Saddiq tajaan DAP…

Banyak kisah-kisah dan sejarah Islam yang sering diambil sebagai mentor dalam perjuangan Islam. Namun sejarah Talut di zaman Nabi Allah Daud A.S kurang diketengahkan. Mudah-mudahan dengan sedikit titipan tentera Talut ini akan membuka hati anak muda Islam khususnya, insya-Allah.

JARIAH ISMAIL – HARAKAHDAILY 22/10/2020
Bimbingan Naqib Shaiful

- Advertisement -