Majikan buat tuntutan palsu dana PSU

- Advertisement -

SIK: Majikan yang didapati membuat tuntutan palsu bagi mendapatkan dana Program Subsidi Upah (PSU) akan dikenakan tindakan tegas termasuk diberhentikan daripada menerima bantuan itu, digantung bayaran serta perlu membayar semula bayaran yang diterima.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata majikan yang menerima bantuan itu tetapi menyalahgunakannya dengan tidak membayar gaji pekerja juga akan berdepan tindakan undang-undang.

- Advertisement -

“Kementerian Sumber Manusia memberi amaran bahawa tindakan akan diambil selepas Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengesan 30 tuntutan palsu dan salah guna dana program berkenaan sejak ia diperkenalkan April lalu.

“Selain itu, Perkeso menerima 281 aduan daripada pekerja mengenai majikan mereka yang masih gagal membayar gaji walaupun telah menerima bantuan PSU,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Taklimat Pembangunan Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan baru-baru ini yang menyebut bahawa Perkeso telah mengenal pasti 30 tuntutan palsu dan salah guna dana PSU di beberapa negeri.
 
Mengulas lanjut, Awang berkata Perkeso telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam menyiasat majikan yang dikenal pasti melakukan kesalahan itu.

Selain itu, pertubuhan tersebut bersama-sama Bahagian Perundangan Kementerian Sumber Manusia akan mengenal pasti tindakan undang-undang lain yang boleh diambil.

“Saya kalau boleh tak mahu sebut mengenai tindakan undang-undang dan mahu elak tindakan undang-undang diambil sebab perkara ini kita boleh elak.

“Namun sekiranya ia tetap berlaku, tindakan perlu diambil bagi memberi pengajaran kepada mereka yang membuat tuntutan palsu seperti ini,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -