Krisis Politik VS Krisis Nyawa

- Advertisement -

SEMALAM, negara digamatkan dengan pertemuan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa menyokong beliau untuk diangkat sebagai Perdana Menteri. Gimik politik ini bermula sejak 23 September 2020 yang berkebetulan waktu itu Pilihan Raya Negeri Sabah sedang berlangsung. Hasil daripada pertemuan semalam, pihak Istana Negara juga telah mengeluarkan kenyataan media menerangkan situasi dan hasil pertemuan tersebut.

Bermula pada 24 Februari 2020, negara dikejutkan dengan perletakan YAB. Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Hasil daripada itu, majoriti sokongan Ahli Dewan Rakyat beralih daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) yang menatijahkan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-8. Hasil daripada itu juga, berlaku pertukaran parti pemerintah di beberapa negeri termasuk Perak sendiri. 

Selepas itu, negara kembali stabil dan berjaya mendepani Pandemik COVID-19 dengan baik dan tenang. Kejayaan Malaysia dalam menangani pandemik ini dipuji oleh ramai pihak, khususnya di peringkat antarabangsa. 

- Advertisement -

Angka positif COVID-19 meningkat kembali bermula di Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini. Mengikut rekod daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, angka positif COVID-19 bermula 1 hingga 12 Oktober ialah sebanyak 4,496 kes. Hampir semua negeri telah berada di dalam Zon Kuning. Bahkan bermula hari ini, Lembah Klang telah diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama dua minggu. Ini merupakan satu perkara yang membimbangkan

Berbalik dengan isu tindakan Dato’ Seri Anwar semalam menyebabkan negara berada dalam kancah berpolitik yang tidak berkesudahan. Kemuncak isu ini akan memberi kesan kepada sokongan pembentangan Belanjawan 2021, atau memungkinkan berlaku pembubaran Parlimen dalam waktu terdekat. 

Mengambil pengalaman PRN Sabah baru-baru ini, pembubaran Parlimen memungkinkan gelombang COVID-19 akan berkembang dengan lebih merbahaya dan membimbangkan. Kempen politik dengan mengikuti SOP yang ditetapkan amat sukar dan semakin payah diikuti

Politik Islam VS Politik Barat

Mengikut suasana politik sekarang jelas memaparkan kita masih lagi dibelenggu dengan budaya politik tinggalan penjajah. Budaya politik tinggalan penjajah berlatarkan penaklukan, peperangan, permusuhan, pengautan kuasa dan kekayaan. Budaya ini juga bercirikan warna kulit, atau bangsa, memuliakan satu kaum dan merendahkan yang lain di atas nama bangsa, dan warna kulit, bukan berasaskan kebenaran dan ilmu.

Budaya politik ini diteruskan ke hari ini dan menjadi sebahagian ciri politik konvensional yang diamalkan sekarang. Berasaskan kepada budaya ini, menyebabkan suasana permusuhan semakin tinggi, berpolitik sehingga sanggup menggadaikan maruah negara, fitnah dan persepsi menjadi makanan harian, kuasa dan kedudukan menjadi matlamat tanpa hala tuju. Semua ini menjadikan politik itu ‘kotor’ dan terasing daripada kemurnian politik tinggalan Rasulullah S.A.W. 

Kestabilan sosial, dan ekonomi sesuatu negara amat bergantung kepada kestabilan politiknya. Sesebuah negara yang mana suasana politiknya bergolak, tidak akan dapat menyediakan suasana kehidupan yang aman dan sejahtera, baik dari aspek sosial, mahupun pembangunan ekonomi. Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan senario politik negara sentiasa terkawal, dan tidak membawa kepada huru-hara dan seumpamanya. Keadaan politik yang sentiasa panas itu adalah lantaran budayanya yang memfokuskan kepada kuasa untuk kelompok masing-masing, pengautan kekayaan dan kemewahan yang membawa kepada korupsi, mainan persepsi dan persepsi, ‘politiking’ melampau yang mengetepi kepentingan rakyat hanya kerana undi dan kuasa masing-masing.

Budaya masyarakat Malaysia terbentuk dengan sifat lemah lembut dan sopan santun, sesuai dengan sejarah kemasukan Islam dan kemerdekaan negara. Rata-ratanya seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan budaya, sudah bosan dengan kerenah dan budaya politik yang agresif dan kasar, yang membawa kepada perpecahan dan benci-membenci.

Negara memerlukan kepada anjakan budaya politik ke arah yang lebih matang, bertanggungjawab dan memfokuskan kepada keharmonian serta kesejahteraan rakyat. Pendekatan ini adalah lebih dekat di hati rakyat. 

Politik adalah sebahagian daripada agenda Islam. Islam amat menitikberatkan pelantikan kepimpinan khususnya kepimpinan negara. Dalam hal ini, al-Mawardi menyebut dalam kitabnya al-Ahkam as-Sultaniyyah bahawa tujuan kepimpinan dalam Islam adalah bertujuan untuk menjaga agama dan memimpin dunia dengan agama. Islam merupakan agama yang lengkap dan menjadi panduan hidup manusia, ini ditegaskan oleh Allah S.W.T;

 الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam menjadi agama kamu.”

 (al-Maidah: 3)

Dalam hal ini, Parti Islam SeMalaysia (PAS) membawa sebuah gagasan besar yang ditimba daripada ajaran Al-Quran dan Sunnah sebagai satu inisiatif penyelesaian kepada kemelut politik negara. Inisiatif penyelesaian ini yang dinamakan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Ia adalah sebagai pengganti kepada budaya politik sedia ada yang ditolak oleh rakyat kebanyakan. PAS mengajak semua pihak beralih kepada budaya politik yang bersih, dan matang yang akan menatijahkan kesejahteraan kepada negara dan rakyat seluruhnya tanpa mengira latar belakang, kaum, agama dan kecenderungan politik masing-masing.

Menurut Dokumen BPMS yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan PAS Pusat, BPMS adalah sebuah budaya berpolitik yang mengutamakan kematangan semua pihak dalam membuat keputusan dan tindakan, yang seterusnya membawa kepada kesejahteraan kehidupan seluruh masyarakat di negara ini. 

BPMS mempunyai dua bahagian utama; iaitu Matang dan Sejahtera

(1) Bahagian pertama, ‘Matang’ merujuk kepada proses. Ia menekankan kepada proses yang matang berlandaskan kepada data dan hujah bagi kesemua pihak, khasnya parti-parti politik dan rakyat membuat penilaian, menentukan sikap dan tindakan terhadap sesuatu isu yang timbul di negara ini. 

(2) Bahagian kedua, ‘Sejahtera’ pula merujuk kepada natijah atau matlamat kepada semua tindakan politik oleh mana-mana pihak, iaitu semuanya mestilah ke arah membawa kesejahteraan kepada kehidupan bermasyarakat di negara ini.

BPMS menjadi sebuah gagasan baru yang diketengahkan ke dalam masyarakat agar semua pihak menghayati budaya berpolitik yang tidak berpaksikan pergeseran, tetapi berpaksikan perlumbaan membawa kesejahteraan kepada rakyat dan negara.

BPMS mempunyai 7 Prinsip iaitu:

(1) Politik bertunjangkan prinsip.
(2) Politik menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
(3) Politik berasaskan penyelesaian.
(4) Politik utamakan rakyat.
(5) Politik damai dan diplomasi.
(6) Politik benar bukan sekadar persepsi.
(7) Politik rasional dan profesional.

Antara impak yang dijangka dapat dicapai melalui penghayatan BPMS dalam kalangan rakyat ialah;

(1) Menggalakkan budaya politik berasaskan ilmu, fakta dan kebenaran.
(2) Mengelakkan perselisihan dalam kalangan rakyat dan anarki.
(3) Mengelakkan ketidak-stabilan politik, sosial dan ekonomi negara.
(4) Meningkatkan persaingan negara dalam ekonomi dan lain-lain dengan rakyat yang berharmoni.
(5) Memperkasakan kuasa politk rakyat dalam membawa negara ke arah yang lebih progresif dan sejahtera.
(6) Membendung mana-mana sama ada parti pemerintah, mahupun parti bukan pemerintah dari memperkotak-katikkan rakyat melalui pelbagai bentuk manipulasi.
(7) Menutup ruang bagi campur tangan pihak luar dalam politik negara.

Kesimpulan

Dalam berpolitik, antara perkara yang perlu dititikberatkan ialah kestabilan dan keselamatan rakyat. Negara berdepan dengan pandemik COVID-19, sektor ekonomi dijangka tidak stabil yang memungkinkan rakyat kehilangan pekerjaan. Ini semua patut diutamakan berbanding perebutan kuasa politik yang tidak akan berkesudahan. Lebih-lebih lagi parti pemerintah yang sedia ada, berada dalam keadaan stabil dan tidak mengganggu gugat isu agama dan kestabilan kaum. 

Dalam hal ini krisis nyawa perlu diutamakan daripada krisis politik yang hanya tertumpu kepada kekuasaan semata-mata. Kecuali jika kerajaan sedia ada, mengganggu gugat agama yang memungkinkan krisis politik lebih utama daripada krisis nyawa seperti yang termaktub dalam Dharuriyyat Khamsah (agama, jiwa, keturunan, aqal dan harta). Ini kerana, Islam mempertahankan agama lebih utama daripada mempertahankan jiwa. Ini dijelaskan oleh firman Allah S.W.T:

﴿أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لَا يَسْتَوُونَ عِنْدَ اللَّهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ١٩﴾ [التوبة: 19]

Adakah kamu anggap hanya perbuatan (kebajikan) memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan haji dan memakmurkan Masjid Al-Haram (Makkah) itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Sebenarnya tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.”

(at-Taubah: 19)

Oleh itu, sudah sampai masanya semua parti politik bergabung tenaga memberi kerjasama sebaik mungkin untuk membangunkan negara mengikut bidang kuasa yang ada. Politik bertujuan untuk memajukan negara, dan membela rakyat, bukannya sekadar perebutan kuasa parti tertentu yang menyebabkan rakyat berada dalam kancah bahaya dan membimbangkan.

YB MOHD AKMAL HJ KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan
Kerajaan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 16/10/2020

- Advertisement -