Operasi bersepadu penguatkuasaan Akta 446

YB TUAN Haji Awang Hashim, Timbalan Menteri Sumber Manusia turut menyertai Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) yang menjalankan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] di sekitar Sungai Petani, Kedah. Operasi yang sama dijalankan serentak di seluruh negara pada 13 dan 14 Oktober 2020.

Operasi ini bertujuan untuk mempertingkat tahap kesedaran majikan dan penyedia penginapan berpusat terhadap Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] dan peraturan-peraturan di bawahnya yang telah mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2020 serta perundangan subsidiarinya yang berkuatkuasa pada 1 September 2020.

Bidang kuasa Akta 446 telah diperluaskan kepada semua sektor pekerjaan yang menyediakan kemudahan perumahan dan penginapan bagi para pekerja dan setiap penginapan atau penginapan berpusat wajib mendapat perakuan daripada Ketua Pengarah JTKSM.

Advertisement

Akta 446 mewajibkan majikan menyediakan penginapan pekerja mengikut ketetapan yang telah digariskan yang menitikberatkan keselamatan, kesihatan dan kebersihan. Secara tidak langsung, Akta 446 menggalakkan majikan mengamalkan norma kerja baharu melalui penjarakan fizikal di tempat kerja dan penginapan pekerja.

Operasi ini turut memberi tumpuan kepada tahap pematuhan kepada  akta-akta perburuhan seperti Akta Kerja 1955, Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 dan Akta Perintah Gaji Minimum 2020.

Majikan dan penyedia penginapan yang menyediakan kemudahan penginapan kepada pekerja diseru supaya mengemukakan permohonan perakuan penginapan kepada Jabatan Tenaga Kerja secara atas talian melalui pautan http://akta446.mohr.gov.my.

KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA
Putrajaya – HARAKAHDAILY 14/10/2020