Korea Selatan lancar siasatan atas Google

SEOUL, Korea Selatan: Korea Selatan melancarkan siasatan antitrust terhadap Google berhubung rancangan gergasi global itu mengenakan fi komisen bagi belian dalam aplikasi yang dimuat turun dari gedung aplikasi telefon mudah alih, memetik pegawai pada Khamis lapor agensi berita Yonhap.

Gergasi teknologi Amerika Syarikat itu disiasat pihak berkuasa Korea Selatan selepas ia mengemas kini dasar globalnya pada lewat bulan lalu bagi membolehkan semua aplikasi yang terkandung dalam gedung Play Store menggunakan sistem pengebilan yang disediakan Google.

Di bawah dasar baharu yang dirancang berkuat kuasa Oktober tahun depan itu, Google akan mengenakan komisen 30 peratus untuk semua pembelian digital oleh pengguna.

Advertisement

Syarikat pembangunan aplikasi Korea Selatan membantah keras langkah itu dengan alasan ia mungkin melanggar undang-undang perdagangan yang adil dan telekomunikasi tempatan.

Pengerusi Suruhanjaya Perdagangan Adil Korea (KFTC) Joh Sung-wook pada sidang Parlimen memaklumkan rancangan Google itu sedang diteliti.

“Saya percaya persaingan tidak berjalan dengan baik dalam industri ini,” katanya.”Untuk memulihkan persaingan, ketika ini kami sedang meneliti tindakan berkaitan antipersaingan.”

Google menguasai penjualan aplikasi tempatan, sebanyak 63.4 peratus daripada jumlah keseluruhan tahun lalu, iaitu 6 trilion won (USD5 bilion), menurut Persatuan Perniagaan Internet Mudah Alih Korea.

Ketua Suruhanjaya Komunikasi Korea Han Sang-hyuk bersependapat dengan Joh dan meminta kerjasama antara agensi berhubung masalah itu. – BERNAMA