PAS menyumbang kemenangan GRS

- Advertisement -

KEMENANGAN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada 26 September lepas menjadi titik permulaan kepada perubahan di seluruh negara, ia turut menjadi ukuran kepada penganalisis politik tentang penentu rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Kejayaan ini tidak mengecualikan PAS daripada menyumbang ke arah kemenangan GRS yang mana PAS memainkan peranan menjadi ‘peneutral’ dalam setiap pertarungan sengit pilihan raya. Ikuti lontaran pandangan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Sabah Dr Aliakbar Gulasan bersama wartawan Harakah, Nor Hazwani Noh.

(Wawancara ini telah dijalankan atas talian pada 2 Oktober lepas dan disiarkan di Harakah bil 2588, edisi Jumaat. Sebagai makluman pada pagi ini Dr Aliakbar dijadualkan menerima watikah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (dilantik) daripada Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, Kota Kinabalu).

- Advertisement -

PAS tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN-16) Sabah yang baru berlalu yang menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang 38 kerusi dan mendapat sokongan dari tiga kerusi bebas.

Dato’ Seri Hajiji Mohd Noor telah dipilih sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu. Gabungan ini adalah persefahaman antara BN (Barisan Nasional), PN (Perikatan Nasional) dan PBS (Parti Bersatu Sabah). PAS berada bersama PN dalam gabungan ini. Soalannya, bagaimanakah PAS dapat memainkan peranan yang berkesan sedangkan PAS tidak mempunyai wakil dalam kerajaan yang akan dibentuk ini?


Dr Aliakbar Gulasan : Pertama kita sudah bersetuju berada di dalam perikatan maksudnya GRS, sebab dalam konteks Sabah kita berada di dalam PN. Jadi maknanya bila GRS menang secara automatiknya sebenarnya kita sudah menjadi sebahagian daripada mereka.

Cuma sebab kita bertanding dan kita tidak ada kerusi yang menang, saya yakin selepas daripada ini PAS akan diberikan paling kurang kerusi adun dilantik dan juga akan memegang beberapa agensi-agensi di bawah kerajaan negeri dan juga di bawah kerajaan tempatan.

Jadi maknanya kita sudah berada di dalam gabungan parti-parti kerajaan dan kita akan menjadi sebahagian daripada rantai-rantai GRS sama ada di peringkat atasan dan peringkat bawahan.

PAS Sabah dilihat sebagai parti Melayu oleh beberapa rakan komponen. Dalam masa yang sama PAS Sabah juga terpaksa berhadapan dengan salah faham dan kekeliruan serta dianggap sebagai parti perkauman dan rasis kerana namanya sebagai parti Islam bukan sahaja oleh rakan komponen tetapi juga sebahagian besar rakyat Sabah.

Soalannya, apakah tindakan proaktif dan berkesan yang PAS Sabah telah dan akan lakukan bagi mereda dan meneutralkan pandangan sebagai parti Melayu dan rasis tersebut?


Dr Aliakbar Gulasan : Ada tiga perkara. Yang pertama saya melihat ini, yang menyebutkan ini parti-parti Semenanjung adalah kompenan parti pembangkang, jadi saya rasa itu satu agenda untuk menakut-nakutkan rakyat Sabah tetapi daripada rakan kita sendiri daripada GRS saya rasa perkara itu selesai dan difahami jadi saya kira, saya nasihatkan pembangkang ini lebih bagus menjadi pembangkang membina daripada yang memfitnah.

Yang kedua, saya tengok memang daripada awal dulu PAS Sabah mungkin banyak didominasi oleh orang-orang Semenanjung dari segi kepimpinan tetapi dalam konteks sekarang, kita dari segi kepimpinan sama ada peringkat negeri sampai ke peringkat kawasan kita didominasikan 90 peratus anak-anak tempatan daripada pelbagai bangsa Dusun, Kadazan, Bajau, Murut, Bugis. Jadi maknanya kita merupakan satu parti pelbagai bangsa dan kita juga ada Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) yang pastinya dari kalangan orang Kristian di Sabah. Kita sudah ada lebih kurang 500 ahli DHPP.

Ketiganya, kita akan memperkasakan dari segi media penerangan dan juga kempen secara besar-besaran. Saya kira sebab mungkin sebelum ini kita banyak dihalang bila kita tidak berada di dalam kerajaan, jadi selepas daripada ini kita akan menggunakan kaedah-kaedah yang betul iaitu harmoni dan damai.

PAS sentiasa mengutamakan politik damai dan harmoni supaya orang nampak PAS ini sebenarnya bukan hanya untuk orang-orang Islam. Namun PAS ini membawa keadilan sebenarnya dan PAS juga boleh disertai oleh masyarakat bukan Islam khususnya di Sabah.

PRN-16 ini diadakan apabila kerajaan Warisan-PH selepas PRU-14 hilang sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Sabah bila mana Tan Sri Musa Aman memulakan langkah untuk mendapatkan sokongan dari ADUN Warisan-PH pada masa itu untuk membolehkan beliau kembali sebagai Ketua Menteri.

Untuk rekod, pada masa itu pembangkang hanya mempunyai 19 kerusi berbanding kerajaan Warisan-PH yang mempunyai 41 kerusi malah kerajaan mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri Sabah pada waktu tersebut.

Langkah tersebut akhirnya telah mengakibatkan seramai 14 orang ADUN Warisan-PH berpaling tadah menyokong Musa Aman. Kemudian segalanya bermula dan berakhir dengan PRN-16 ini.

Soalannya, pada pandangan tuan, bagaimanakah kerajaan baharu ini mampu memastikan bahawa peristiwa lompat-melompat atas alasan menjaga kepentingan rakyat ini dapat dihapuskan dan akhirnya rakyat tidak dipergunakan sebagai alat untuk kepentingan ahli politik kelompok tertentu?


Dr Aliakbar Gulasan : Yang pertama saya tengok mungkin lompat-melompat ini tidak akan berlaku sebab sekarang kerajaan negeri dengan kerajaan pusat sudah sealiran dan dipimpin dari parti yang sama.

Kedua, sepatutnya lompat-melompat tidak ada akta yang menghalang, jadi dari segi hak asasi manusia ia bukan sesuatu yang salah.

Ketiga, dari segi maruah lompat-melompat ini satu perkara yang sangat memalukan ataupun menjatuhkan maruah. Jadi sepatutnya tidak berlaku pada bila-bila masa, sekarang atau sampai bila-bila walaupun tanpa sebarang peraturan untuk menghalang.

Keempat, saya tengok sekarang (adalah) lebih bagus semua kepimpinan negeri yang menang ataupun yang akan dilantik tumpukan kepada pembangunan Negeri Sabah. Semua rakyat Malaysia tahu, rakyat khususnya sudah jauh ketinggalan Sabah ini.

Jadi daripada mengecilkan pertukaran parti dan lompat-melompat, lebih bagus sementara kita sealiran dengan kerajaan pusat manfaatkan sepenuhnya untuk tumpuan kepada agenda pembangunan yang lebih adil sama ada kita di peringkat bandar ataupun di luar bandar dan tumpukan juga kepada keharmonian integrasi di antara pelbagai kaum dan pelbagai agama di Negeri Sabah ini.

Politik di Sabah jauh berbeza di Semenanjung, rakyat Sabah benar-benar memberikan ‘tamparan hebat’ atau pengajaran kepada parti seperti UPKO yang mengkhianati undian rakyat Sabah gara-gara “lompat katak” selepas menang pada PRU-14, adakah ini juga akan turut memberikan pengajaran kepada pemimpin dari parti lain tentang hal ini?

Dr Aliakbar Gulasan : Pertama saya ucap tahniah kepada pengundi-pengundi di kawasan-kawasan tertentu sebab memang yang lompat-melompat ini semua kalah, makna ini menandakan kebijakan pengundi-pengundi di Sabah. Sejarah pun membuktikan begitu bagaimana Sabah ini boleh bertukar kerajaan pada bila-bila masa jadi ini mungkin satu kebijakan yang penting dalam kalangan rakyat.

Kemudian saya harap rakyat Sabah akan terus berfikir lebih jauh pada masa akan datang menolak kepimpinan yang tidak ada agenda perjuangan dan tidak ada perinsip di dalam perjuangan yang kadang-kala mereka ini hanya hendak mendapatkan kuasa tapi bila ada kuasa mereka lupa kepada rakyat.

Jadi saya kira akibat daripada kuasa dan kebijakan rakyat itu merupakan satu tamparan dan juga pengajaran kepada para pemimpin politik. Jangan mempermainkan rakyat pada masa akan datang sebab undi rakyat adalah undi yang sangat penting dan merupakan undi keramat.

PAS telah bertapak di Sabah semenjak tahun 1986 bermakna PAS Sabah sudah berusia 34 tahun. Mula bertanding dalam pilihan raya semenjak tahun 1996 sehingga PRU-14. Bahkan semasa bersama Pakatan Rakyat (PR), PAS Sabah diberikan dua kerusi parlimen dan lapan kerusi DUN untuk ditandingi dalam PRU-13.

Pada PRN baru-baru ini, PAS Sabah bersama PN dan GRS di Sabah tetapi tidak diraikan dan tidak diberikan sebarang kerusi untuk ditandingi oleh rakan-rakan komponen. Namun pemimpin dan ahli PAS Sabah tetap berkerja keras membantu calon-calon rakan komponen yang bertanding dan hasilnya GRS berjaya membentuk kerajaan.

PAS berada bersama dalam kerajaan sesuatu yang dilihat mustahil jika PAS bersendirian. Ada yang mengatakan PAS tidak diberikan kerusi kerana PAS Sabah tiada pengaruh, tiada ahli, tiada kekuatan, rasis, parti Melayu dan masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah tidak boleh menerima PAS dalam sistem politik Sabah.

Soalannya, sejauh manakah kebenaran bahawa PAS Sabah lemah dan tidak diterima oleh masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah kerana sifat rasis dan kemelayuan tersebut?


Dr Aliakbar Gulasan : PAS Sabah pada tahun 1986 ditubuhkan dan umur 34 tahun kemudian mula bertanding pun pada tahun 1986 juga tiga kawasan Parlimen.

Pertama, mungkin PAS duduk bersendiri buat masa ini agak sukar untuk menang sebab itu kita berjiwa besar untuk berkawan dengan mana-mana pihak yang mempunyai matlamat yang sama.

Matlamat yang pertama untuk membangunkan Negeri Sabah. Kedua untuk kita melahirkan masyarakat Sabah yang harmoni dan juga bertoleransi. Jadi, saya kira walaupun orang kata PAS Sabah ini dia rasis, macam saya sebut di awal tadi, itu hanya disebut oleh pembangkang terutamanya DAP dan Warisan yang mereka ini selalu mengungkapkan PAS dari Semenanjung dan PAS hanya untuk orang Islam. Namun saya kira ini salah tanggapan yang cuba ditanamkan oleh musuh pembangkang ataupun parti-parti lawan PAS.

Sebab realitinya kami anak Sabah, jadi mak bapak kami lahir di Sabah, kami ada adik-beradik di sini mustahil untuk kita menimbulkan huru-hara tidak harmoni di sini, ini tempat kami mencari rezeki, sebahagian dari kami adalah pegawai besar, sebahagian dari kami nelayan, sebahagiannya penoreh getah.

Jadi agenda kita untuk membangunkan ummah dan masyarakat sama dengan pelbagai kaum dan untuk makluman kita sebenarnya turut menyambut sambutan keramaian seperti Pesta Keaamatan, Pesta Menuai dan sebagainya. Ini menandakan kita sebahagian daripada masyarakat yang sama dan duduk dalam masyarakat yang pelbagai.

Hatta dalam kalangan kepimpinan kita ada yang berbangsa Dusun, ada yang berbangsa Murut yang memang 90 peratus kepimpinan itu sekarang memang orang Sabah.

Saya sendiri lahir di Keningau di kawasan pendalaman. Itu satu kekuatan kita dan kita sayang Sabah, mungkin lebih sayang daripada DAP dan Warisan sebab mereka asyik membangkitkan musuh-musuh kita di Semenanjung.

Kita mahu kesatuan di dalam konteks Malaysia. Jadi tidak ada sebarang rasis hatta kita bersangka baik cuma agenda pembangkang untuk meniupkan angin-angin permusuhan supaya PAS ini terpinggir daripada agenda politik di Sabah. – HARAKAHDAILY 8/10/2020

- Advertisement -