Isu benih padi di Kawasan Muda

KEPERLUAN benih padi di Kawasan Muda bagi Musim 2/2020

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) ingin memaklumkan bahawa keperluan benih padi bagi 100,685 hektar Kawasan Muda bagi penanaman padi Musim 2/2020 adalah sebanyak 14,096 metrik tan Benih Padi Sah (BPS) diperlukan untuk maksud tersebut.

Jadual Penanaman Padi di Kawasan Muda Musim 2/2020

Bagi memastikan kelancaran penanaman padi Musim 2/2020, pihak MADA telah mencadangkan Jadual Penanaman Padi di Kawasan Muda Musim 2/2020 sebagai rujukan semua peladang.

Advertisement

Penentuan tarikh permulaan aktiviti penanaman padi ini dibuat dengan mengambil kira jangkaan turunan hujan di Kawasan Muda sepanjang Musim 2/2020. Secara lazimnya turunan hujan merupakan sumber utama bekalan air bagi kegunaan tanaman padi bagi musim ini.

Pihak MADA telah mengadakan libat urus bersama wakil peladang daripada seluruh Kawasan Muda dan tarikh akhir diputuskan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi (MJBAPP) MADA Musim 2/2020 yang diadakan pada 13 Ogos 2020.

Berdasarkan Jadual Penanaman Padi Kawasan Muda Musim 2/2020, keluasan bertanam dibahagikan kepada 3 fasa penanaman iaitu Fasa 1, 2 dan 3 di mana aktiviti menabur (bertanam) dijadualkan bermula dari 9.09.2020 (Fasa 1), 20.09.2020 (Fasa 2) dan 1.10.2020 (Fasa 3).

Tindakan MADA dalam Pengurusan Benih Padi

Sebelum bermulanya Musim 2/2020 ini, MADA secara proaktif telah mengambil beberapa langkah dan tindakan awal bagi memastikan aktiviti penanaman oleh para peladang tidak tergendala.

Pihak MADA telah mengadakan mesyuarat persediaan dan perancangan keperluan Benih Padi Sah untuk kegunaan aktviti penanaman Musim 2/2020 pada 12 Julai 2020 bertempat di Ibu Pejabat MADA, Alor Setar, Kedah. Mesyuarat ini diadakan secara berkala dengan penglibatan agensi-agensi berkaitan iaitu MARDI dan Jabatan Pertanian Malaysia serta turut dihadiri oleh tiga (3) pengeluar Benih Padi Sah yang berpusat di Kawasan Muda iaitu Syarikat Perniagaan Peladang MADA Sdn. Bhd. (MADACorp.), Pertama Padi Sdn. Bhd. dan KB Seri Merbok Sdn. Bhd.

Sebagai rekod untuk pengeluaran Benih Padi Sah bagi 3 pengeluar utama di Kawasan Muda pengeluar KB Seri Merbok Sdn Bhd mempunyai baki kuota 13,478.98 metrik tan, pengeluar Pertama Padi Sdn. Bhd mempunyai baki kuota 5,605.74 metrik tan dan MADACorp mempunyai baki kuota 3,129.06 metrik tan.

Berdasarkan kepada pembentangan oleh ketiga-tiga pengeluar, didapati jumlah pengeluaran Benih Padi Sah dijangka mencukupi iaitu sebanyak 14,517 metrik tan, melebihi keperluan untuk kegunaan di Kawasan Muda iaitu sebanyak 14,096 metrik tan.

Pihak MADA juga telah mengarahkan semua Pertubuhan Peladang Kawasan MADA (PPK MADA) membuat pesanan awal stok Benih Padi Sah daripada pengeluar.

Kempen pengembangan penggunaan Benih Padi Sah. Pegawai-pegawai MADA di lapangan turut mengadakan aktiviti pengembangan seperti kempen yang berterusan mengenai penggunaan Benih Padi Sah termasuk pengesyoran penggunaan varieti-varieti tempatan selain dari MR 297 yang berhasil tinggi.

Status pesanan dan penerimaan Benih Padi Sah

PPK-PPK MADA telah mula membuat pesanan kepada pengeluar-pengeluar Benih Padi Sah serta ejen-ejen swasta sejak dari bulan Ogos dan sehingga 30 September 2020, sebanyak 2,452.86 metrik tan (122,643 beg) iaitu 17.4 peratus daripada keperluan telah dipesan oleh PPK.

Majoriti daripada pesanan yang dibuat oleh PPK MADA adalah daripada pengeluar MADACorp dan bakinya adalah daripada pengeluar-pengeluar lain. Setiap musim PPK MADA sentiasa cuba meningkatkan pesanan stok Benih Padi Sah namun pengeluar mengutamakan edaran kepada ejen lantikan mereka.

Penutup

Pihak MADA menggesa agar pengeluar-pengeluar padi menjalankan tanggungjawab mereka dengan memastikan peladang-peladang mendapat bekalan Benih Padi Sah pada harga yang munasabah dan di dalam tempoh waktu yang sewajarnya. Pihak MADA juga menggesa agar pengeluar memberi keutamaan kepada PPK MADA sebagai pengedar kepada peladang.

Pihak MADA juga menggesa pihak MAFi mengambil tindakan keras kepada pengeluar Benih Padi Sah yang gagal memenuhi kontrak mereka serta ejen-ejen benih padi yang memanipulasikan harga.

Sekian.

Dikeluarkan oleh;

YB TUAN AHMAD TARMIZI SULAIMAN 
Pengerusi
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) – HARAKAHDAILY 5/10/2020