Awal untuk nilai pelantikan

KUALA LUMPUR: Pelantikan tiga Timbalan Ketua Menteri bagi Kerajaan Negeri Sabah telah mengisi keperluan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Gabungan itu telah menjadi penyatuan sokongan rakyat mengalahkan Parti Warisan Sabah demikian kata Pesuruhjaya PAS negeri Sabah, Mohd Aminuddin Aling ketika dihubungi Harakah baru-baru ini.

Advertisement

Menurut Mohd Aminuddin pelantikan tersebut adalah terlalu awal untuk dinilai dari mana-mana aspek yang berkaitan tiga indivdiu tersebut ketika ini.

Tiga yang terpilih sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Dato’ Seri Bung Moktar Radin yang juga ADUN Lamag; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Dato’ Dr Jeffrey Kitingan (ADUN Tambunan) dan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Dato’ Dr Joachim Gunsalam (ADUN Kundasang).

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menyaksikan pertembungan di antara GRS melawan Warisan Plus dan secara keseluruhannya kemenangan telah berpihak kepada GRS.

Pada 29 September lalu, menyaksikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Dato’ Hajiji Noor menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu diikuti tiga timbalan ketua menteri mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri. – HARAKAHDAILY 1/10/2020