Muslimat Temerloh zahirkan kekuatan Jentera PRU15

TEMERLOH: Pelancaran Jentera Pilihan Raya Muslimat PAS Parlimen Temerloh telah berjaya menghimpunkan seramai 115 anggotanya pada majlis di Darul Ansar, Kampung Cempaka, Lanchang, di sini kelmarin.

Advertisement

Kehadiran amat memberangsangkan ini sekali gus menjadi ukuran kekuatan Jentera Muslimat sebagai antara sayap PAS dalam bersiapsiaga untuk menempuh cabaran menghadapi PRU15 tidak lama lagi.

Perasmian telah disempurnakan Ketua Muslimat PAS Kawasan Temerloh, Ustazah Alawiyah Kasdan yang dalam ucapannya menyeru Muslimat menjadi pendukung dan penggerak bagi perjuangan suci ini.

Tegasnya, sunnah Rasulullah S.A.W dalam menegakkan daulah Islamiyah wajib disambung dengan mematuhi syarat-syarat kemenangan termasuk menjaga akhlak dan adab dalam perjuangan berjemaah ini.

Beliau turut menegaskan kepentingan menjaga hubungan dengan Allah S.W.T, malah mesti diperhebatkan lagi pergantungan serta pengharapan kepada-Nya agar layak menerima pertolongan dan anugerah kemenangan.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin selaku pimpinan jemputan dalam ucapannya turut memberikan mesej serupa betapa kunci kemenangan terletak pada hubungan anggota jentera dengan Allah Taala.

Tegas beliau, ia mesti dipelihara dan dibaiki, selain menuntut supaya ahli jentera sentiasa banyakkan bersabar menghadapi perkara dalaman dan luaran parti serta yakin semua itu akan diganjari Allah dengan pahala besar.

Beliau turut menyeru untuk anggota Jentera Muslimat menguasai media sosial terutama Twitter selain mengharapkan pemerkasaan Harakahdaily dilipatgandakan lebih lagi.

Sebagai gimik pelancaran, Ketua Jentera Pilihan Raya Muslimat PAS Temerloh, Siti Baksa Mahidin dan semua Ketua Jentera Muslimat DUN-DUN telah menerima penyerahan bendera PAS dari Pengarah Pilihan Raya PAS Parlimen Temerloh, Hasan Omar.

Turut memberi taklimat pada program ini adalah Ketua Unit Penerangan Jentera Pilihan Raya Muslimat PAS Negeri Pahang, Salbiah Seni Abdullah. – HARAKAHDAILY 28/9/2020