Dulu lawan perjuangan Ustaz Azizan – Ahmad Yahaya

- Advertisement -

SUNGAI PETANI: “Semasa hayat Ustaz Azizan Abdul Razak mereka menentang, tetapi selepas Tan Sri meninggal dunia baru nak tatang, sedangkan almarhum berjuang bersama PAS sehingga akhir hayat.

“Tentu pelik, tiba-tiba baharu sekarang nak memperingati jasa bekas menteri besar Kedah terbabit,” kata Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya.

- Advertisement -

Beliau berkata semasa hayat Ustaz Azizan, pihak terbabit menentangnya sehingga ada yang meninggalkan perjuangan bersama PAS.

Katanya juga PAS Kedah tidak menghalang mana-mana individu atau NGO mengadakan majlis memperingati tokoh terbilang termasuk Ustaz Azizan.

“Namun jangan pula mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri sendiri. Tindakan itu amat dikesali,” katanya di sini.

Baru-baru ini NGO The Ummah Talk dan Persatuan Warga Penyayang menganjurkan program Tujuh Tahun Pemergian Ustaz Azizan Abdul Razak dengan mengundang ahli panel dari kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Panel yang diundang termasuk bekas Menteri Besar Dato’ Seri Mukhriz Mahathir dan anak arwah, Ahmad Faiq.

“PAS Kedah kesal dengan sikap individu tertentu yang cuba mengambil kesempatan di atas ketokohan Ustaz Azizan, walhal ketika hayatnya pihak berkenaan menjadi penentangnya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 27/9/2020

- Advertisement -