Cari titik perpaduan walaupun ada beribu titik perpecahan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pimpinan dan ahli-ahli Muafakat Nasional (MN) perlu kembali fokus dalam agenda memperkukuhkan perpaduan seperti yang termeterai dalam Piagam Muafakat Nasional sebelum ini.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, perpecahan kesatuan politik umat Islam amat disenangi musuh yang tidak pernah menyukai perpaduan dalam kesatuan politik Islam.

- Advertisement -

“Setiap pihak perlu menyedari bahawa perpecahan kesatuan politik umat Islam adalah satu kejayaan musuh kerana musuh sama sekali tidak akan tidur lena dengan kesatuan politik umat Islam yang telah berjaya dibentuk.

“Malah ia terbukti apabila gagalnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu dan digantikan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada hari ini dengan asas penyertaan MN di dalamnya.

“(Ia) bagi menjamin kestabilan politik negara tanpa ada keterlibatan DAP dan parti politik yang sekutu dengannya,” ujarnya pada satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Puteh itu turut mengingatkan semua pimpinan MN terhadap naratif media musuh dan dakwaan Anwar Ibrahim pada 23 September itu hanya cubaan memporak perandakan kesatuan yang dibina antara PAS dan Umno secara asasnya melalui MN.

“Usah melayan mengikut rentak tari musuh kerana dakwaan sebegini bukan kali pertama malah pernah juga terjadi pada September 2008 dan juga Februari 2020 yang lalu.

“Jika sekalipun benar, dakwaan ini perlu melalui proses perundangan yang sah, bukan semata-mata menerusi pengumuman media sahaja,” tambahnya.

Pada 23 September lepas, Anwar mengumumkan dia punyai majoriti ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baru sekali gus menjatuhkan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Dalam kalangan majoriti itu Anwar mendakwa mereka juga terdiri daripada ahli parlimen kerajaan dari kalangan Bumiputera dan Islam.

Presiden Umno Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seperti dilaporkan oleh portal-portal berita tempatan berkata, dia telah dimaklumkan bahawa ada ahli-ahli parlimen Umno dan Barisan Nasional menyatakan sokongan mereka kepada Anwar.

Susulan itu, PAS mengeluarkan kenyataan pada 24 September menyatakan pendirian 18 Ahli Parlimen PAS mendukung kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia manakala Ahli- ahli Parlimen dari Umno turut menafikan dakwaan Anwar.

Sehubungan itu, Nik Zawawi mengajak seluruh pimpinan MN kembali ke meja rundingan bagi membina keputusan bersama untuk setiap kenyataan media berasaskan permuafakatan yang termaktub dalam Piagam Muafakat sedia ada.

“Usah kembali membiarkan suasana tenang yang sedang dirasai oleh setiap nadi rakyat dengan kerajaan pada hari ini diranapkan yang akhirnya membuka ruang DAP kembali berkuasa ekoran perselisihan yang tidak dikawal.

“Perselisihan pasti ada, namun carilah titik perpaduan yang lebih diberikan fokus iaitu agama, ummah dan kestabilan politik negara.

“Kita mempunyai banyak persamaan yang boleh difokuskan dari melayan hanya beberapa titik perselisihan yang ada dan sukar dielakkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/9/2020

- Advertisement -