Peluang cerah GRS menang PRN Sabah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad optimis Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan memberi kemenangan yang baik buat Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau berkata, dengan kemasukan dan sokongan di pihak GRS yang disertai pimpinan dan gabungan parti-parti besar yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) atau Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) semakin menguatkan lagi parti itu.

- Advertisement -

Malah katanya, beliau yakin rakyat Sabah bijak membuat penilaian dan pemilihan terhadap satu kepimpinan dan kerajaan serta mana-mana parti untuk memerintah Sabah yang mampu membawa perubahan dalam pelbagai sektor.

Tambah Ustaz Idris yang dihubungi Harakahdaily hari ini , rakyat Sabah juga melihat pemerintah hari ini sudah tidak mampu memberi apa-apa makna lagi buat rakyat Negeri Sabah.

Oleh demikian katanya, rakyat Sabah akan lebih memilih GRS untuk mengetuai kerajaan negeri itu memandangkan mereka juga menginginkan persamaan pimpinan pusat dan pimpinan kerajaan negeri yang prihatin terhadap rakyat.

Pilihan Raya Negeri Sabah kali ini mencipta sejarah tersendiri apabila menyaksikan pertembungan paling tinggi 11 penjuru bagi perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka.

Seramai 446 calon berentap merebut 73 kerusi DUN pada PRN Sabah yang akan ditentukan pemenangnya oleh sejumlah 1.12 juta pemilih berdaftar layak mengundi sekali gus penentu untuk parti mana yang bakal memerintah Sabah pada hari pengundian yang berlaku pada esok. – HARAKAHDAILY 25/9/2020

- Advertisement -