Penduduk setinggan ditawar rumah PPR

- Advertisement -

KOTA BHARU: Penduduk setinggan yang mendiami tanah milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di Seksyen 5 Jalan Atas Paloh ditawarkan menduduki Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Kelochor.

Sehingga sekarang 36 ketua keluarga setuju berpindah ke PPR tersebut dan 31 keluarga sudah berpindah ke penempatan baharu tersebut dan 5 keluarga lagi dalam proses perpindahan.

- Advertisement -

Menurut PKINK, 16 keluarga lagi sedang dalam peringkat rayuan setelah permohonan pertama gagal kerana tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan untuk menduduki PPR.

Oleh itu, PKINK menafikan kenyataan syarikat korporat milik kerajaan negeri terbabit menzalimi penduduk di kawasan setinggan di kawasan tersebut.

“Dakwaan dalam video yang ditular bahawa PKINK menzalimi penduduk tidak benar kerana ruang perbincangan diadakan dan peluang berteduh juga diberikan,” katanya pada satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini tular seorang pemuda yang mendakwa PKINK menzalimi penduduk setinggan di kawasan berkenaan dan hanya membayar pampasan sebanyak RM500.

Menurut PKINK sebanyak 53 keluarga mendiami dan menyewa premis di tanah milik agensi tersebut.

Katanya hasil perbincangan dibuat, 52 keluarga penduduk bersetuju berpindah dan mereka ditawarkan rumah PPR.

“PKINK mengadakan beberapa siri perbincangan dengan penduduk tempatan dan telah mengeluarkan notis pemberitahuan supaya mengosongkan premis sebelum atau pada 29 Februari 2020 bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan kawasan dibuat.

“Notis pengosongan kali kedua dikeluarkan 23 Julai 2020. Kerja-kerja pembersihan tanah dilakukan bermula 2 September lepas,” katanya.

Menurutnya juga sehingga sekarang PKINK hanya meroboh 31 premis yang dibina tanpa kebenaran setelah mendapat persetujuan bertulis daripada penduduk yang terlibat.

Selain itu PKINK membayar ex-gratia sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga terbabit. – HARAKAHDAILY 23/9/2020

- Advertisement -