Rayuan buat para pengundi awal

SERAMAI 16,877 pengundi berdaftar terlibat dengan proses pengundian awal pagi ini dalam PRN Sabah. Dari jumlah tersebut 7,847 merupakan warga Angkatan Tentera Malaysia dan keluarga masing-masing, 9,330 anggota Polis PDRM dan keluarga yang akan mengundi di 55 Pusat Mengundi bermula jam 8:00 pagi hari ini.

Tuan-tuan semua merupakan wira-wira dan para pahlawan Malaysia. Tuan-tuan semua cukup berjasa dalam mempertahankan kedaulatan negara dan memelihara keamanan. Kami rakyat Malaysia beri tabik hormat pada tuan-tuan.

Rakyat Malaysia seluruh negara yang waras dan bijak termasuklah di Sabah menyanjung dan menghargai peranan tuan-tuan. Pagi ini semoga tuan-tuan keluar mengundi sebagaimana gagahnya tuan-tuan melaksanakan tugas masing-masing.

Advertisement

Bersamalah kita bertanggungjawab membina negara yang berdaulat, aman dan sejahtera yang menjunjung Perlembagaan Negara dan berpegang teguh pada Rukun Negara.

Marilah kita memilih para pemimpin yang berakhlak dan berwibawa. Yang mampu mempertahankan maruah negara dan membela nasib anak bangsa termasuk nasib dan masa depan tuan-tuan sekeluarga.

Tuan-tuan jangan sekali-kali mengundi mereka yang Cauvinis, yang pandang hina dan mencerca kedaulatan dan keamanan negara yang telah tuan-tuan bina dengan darah dan air mata. Mereka itu pengkhianat.

Mereka yang tidak sopan dan tandus kesusilaan tidak layak membarisi kepimpinan negara kita yang tercinta. Selamat mengundi. Dan mengundilah dengan penuh tanggungjawab.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR  – HARAKAHDAILY 22/9/2020