Menjadikan Terengganu perintis maritim antarabangsa

- Advertisement -

JIKA saya dan anak-anak Terengganu duduk ‘berangan’ suatu hari nanti negeri tumpah darah kita jadi negeri maju, tumpuan pelancong dengan tempat-tempat menarik yang dilengkapkan dengan kemudahan bertaraf dunia, dengan profesionalisma anak tempatan yang bekerja begitu cekap, berwibawa, peramah, budiman dengan nilai Islam dan ketimuran yang tinggi.

Jika saya dan anak-anak Terengganu ‘berangan’ industri petroleum negara tidak lagi ditadbir dari Kuala Lumpur tetapi di Kuala Terengganu. Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud sibuk dengan usahawan-usahawan tempatan dan antarabangsa turun ke Terengganu untuk urusan tender, juruperunding, pembekal-pembekal, logistik, dan penyedia perkhidmatan kerana semua urusan pentadbiran industri petroleum digazetkan di negeri pengeluar petroleum.

Dengan Pameran Antarabangsa Tahunan atau Dwi Tahunan Setaraf LIMA di Langkawi yang fokus kepada Industri Maritim dan Petroleum beserta Persidangan Antarabangsa yang berkaitan. Industri maritim boleh fokus segmen perkapalan kelas sederhana seperti Kapal-kapal Pengawasan Perairan Malaysia, Kapal-kapal Sokongan Industri Petroleum dan Industri Perikanan Moden.

- Advertisement -

Bagaimana pula jika kerajaan boleh diyakinkan supaya menggabungkan kepakaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang sudahpun punyai Fakulti Pembinaan dan Pembaikan Kapal serta Industri Pembinaan Kapal di Pantai Timur supaya perancangan pembinaan kapal-kapal induk baru Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dipusatkan di Terengganu seperti model pembangunan industri maritim di Lumut, Perak di mana Kementerian Pertahanan telah berbelanja RM7 bilion untuk projek Offshore Patrol Vessel dan RM9 bilion untuk projek Littoral Combat Ship dan berbilion lagi projek semuanya di Lumut, Perak.

Mengapa tidak RM5 bilion pembinaan kapal-kapal induk APMM di Terengganu yang setiap satu cuma bernilai antara RM200-300 juta sebuah. Bukan RM1 bilion sebuah!

Kerajaan tentukan entiti mana, pegang ekuiti, tidak kira Khazanah atau Permodalan Nasional Berhad (PNB). Negeri mungkin boleh turut memegang ekuiti. Ini yang akan memacu industri logistik maritim yang begitu banyak peluang terlepas ke negara asing khususnya dalam perkhidmatan cari gali dan pengeluaran petroleum di perairan Terengganu.

Sesuatu yang bersifat ‘massive development shift’ perlu dibuat jika mahu membina excitement pelaburan, dan sentimen pembangunan yang rancak.

Jika Pangerang di Johor muncul dengan RAPID yang menelan hampir ratusan bilion Ringgit pelaburannya, seperti Pulau Pinang dan Singapura dengan rancangan masing-masing, tidak salah jika kita orang Terengganu mula memikirkan perkara besar yang boleh mengubah jiwa kita semua supaya turut berjiwa besar dan bercita-cita besar untuk tanah air kita.

Ya, ini mungkin angan-angan tapi jika kita sama usahakan, ia akan menjadi satu wawasanInsya-Allah!

YB HJ AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen PAS Kawasan Kuala Terengganu
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) – HARAKAHDAILY 22/9/2020

- Advertisement -