Suntikan tarbawi di Gelombang AKIFI Pahang

- Advertisement -

MARAN: Dewan Muslimat PAS Malaysia telah mengadakan program Gelombang AKIFI peringkat negeri Pahang yang dilangsungkan di Dewan Komuniti bersebelahan Masjid At-Taqwa, Kampung Awah Chenor, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Zon Tengah melibatkan Kawasan Maran, Kuala Krau, Temerloh dan Bera selaku tuan rumah kali ini dengan majlis kekal menerima suntikan tarbawi secara langsung dari Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Beliau telah memimpin solat hajat untuk kesejahteraan Malaysia, bacaan Yaasiin, munajat AKIFI dan solat Asar berjemaah, selain menyampaikan taujihat perjuangan serta berukhuwah bersama para hadirin ketika jamuan ringan.

Dalam taujihat disampaikannya, beliau mengingatkan betapa keredhaan Allah adalah sebab utama dalam melaksanakan gerak kerja jemaah dan itulah pra-syarat kemenangan sebagaimana jejak ditunjukkan Rasulullah S.A.W.

Hadir sama adalah Ketua Muslimat PAS Negeri Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor dan Ketua As-Sabiqat Muslimat PAS Malaysia, Khadijah Mahmud serta wakil Wanita Umno Bahagian Maran, Datin Seri Dato’ Fatimah Kassim.

Dalam kesempatan Ustazah Nuridah hadir itu beliau turut meluangkan masa menziarahi guru PASTI Al-Hidayah, Zuraina Ibrahim yang telah terlantar sakit sejak beberapa bulan lalu. – HARAKAHDAILY 20/9/2020

- Advertisement -