MEF minta program subsidi upah dilanjutkan

SHAH ALAM: Program subsidi upah yang dijadualkan tamat akhir bulan ini, perlu dilanjutkan sehingga akhir tahun ini, kata Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Advertisement

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, ramai majikan swasta mengalami kesukaran mendapatkan aliran wang tunai dan ia mungkin akan melibatkan pemberhentian pekerja.

Katanya, program itu dilihat mampu membantu majikan terus bernafas, semasa negara sedang menghadapi masalah ekonomi.

“Syarikat dibantu oleh kerajaan dengan mereka boleh kekalkan pekerja. Kalau mereka diberhentikan kerja pada masa sekarang, sukar juga untuk mendapat kerja baharu dan secara tidak langsung ia membantu untuk mengurangkan kadar pengangguran,” katanya.

Beliau berkata jumlah bayaran subsidi upah hanyalah 12 peratus dari keseluruhan gaji di sektor swasta dan mencadangkan kalau boleh kerajaan meningkatkan kadar tersebut.

“Kalau dibandingkan di United Kingdom, program seumpama ini adalah sebanyak 80 peratus dari keseluruhan gaji di sektor swasta dibayar kepada pekerja, manakala di Singapura, 75 peratus dari jumlah keseluruhan gaji di sektor yang sama. 

Pada 23 Jun, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul berkata,  Program Subsidi Upah, yang dilaksanakan kerajaan untuk menangani impak COVID-19 ke atas ekonomi negara telah menyelamatkan 2.4 juta pekerjaan. – BERNAMA