Menginovasikan beca di Terengganu

- Advertisement -

‘TEKSI’ di Terengganu selain daripada merujuk kepada kereta teksi yang biasa kita kenal, juga adalah merujuk kepada beca, kenderaan beroda tiga yang dipacu basikal.

Semasa saya bersekolah rendah sekitar 1970-an, saya berulang alik setiap hari ke Sekolah Rendah Tengku Bariah, Kuala Terengganu tahun 1977 naik beca arwah Pok Jaapor. Naik beca arwah Pok Wel 1978-1982 ke Sekolah Pusat Chabang Tiga. Ia pengangkutan yang selesa dan mengujakan.

“Pok, tolong hantar saya nok gi pasor payang. Singgah bank dulu, pastu postopih (pejabat pos). Habih pasor payang nok round round (bersiar siar) dalam bandor dulu. Karang ator ah saya balik steseng bas.”

- Advertisement -

Saya kerap menyantuni penarik beca di Kuala Terengganu yang rata-rata sudah berumur 70an. Orang muda tak minat. Kerja letih.

Mode pengangkutan ringkas dan mudah begini akan tetap menarik dan kekal relevan di masa hadapan sebagai penghubung antara lokasi-lokasi dalam bandar. Ia perlu diinovasikan semula. Jadikan menarik, senang, selesa, tak perlu guna tulang 4 kerat.

Kerana itu saya telah minta MOSTI anjurkan pertandingan inovasi beca Terengganu. Saya harap akan muncul idea-idea yang menarik, berdaya maju yang bakal menjadikan mode pengangkutan beca punya nilai komersial yang lebih berpotensi selain tarikan pelancongan.

Mungkin guna teknologi solar, bateri, ada sistem entertainment yang bagus, punya wifi, atau skrin pilihan destinasi, mainkan lagu-lagu menarik selang-seli lagu identiti Terengganu seperti Teganung Kiter.  Masih kekal beroda tiga.

Mungkin nanti ada perkhidmatan beca sebegini yang berulang alik hantar pengunjung dari Pasar Payang ke Menara Drawbridge. 10 pemenang akan terima saguhati RM1,000. Rekaan Terbaik akan ditawarkan Geran Pembangunan Maksimum RM200,000 di bawah Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6).

Maklumat Lanjut di: http://iic.innomap.my

20 Julai 2020 – 20 September 2020 (Tarikh Tutup Penyertaan).

“Selamat Menyambut Hari Malaysia!”

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi – HARAKAHDAILY 10/8/2020

- Advertisement -