Kelantan perkasa transformasi digital

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan Pay berjaya menarik 32 rakan kongsi yang terdiri daripada agensi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi swasta dan institusi pendidikan.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kerjasama itu dijangka terus meningkat bagi merancakkan lagi ekonomi Kelantan selaras dengan perkembangan revolusi industri.

- Advertisement -

Kata beliau, pengguna boleh membuat bayaran atas talian yang melibatkan urusan kerajaan dengan menggunakan kaedah online banking (FPX), kad kredit, kad debit dan e-wallet.

“Ia akan meningkatkan hasil agensi kerajaan negeri yang berkaitan, selain pembayaran yang dilakukan dengan pantas tanpa mengira tempat, masa dan keadaan, sesuai dengan Revolusi Industri (IR4.0).

“Kita mensasarkan penggunaan aplikasi ini akan meningkat menjelang akhir tahun ini, kesemua PBT akan menggunakannya untuk terimaan bayaran lesen, cukai bandar dan lain-lain,” katanya pada pelancaran aplikasi digital Kelantan Pay di Dewan Bungai Teratai Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Turut hadir Timbalan Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat, Ustaz Azhar Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) Ab Aziz Yunus.

Mohd Amar juga berkata inisiatif itu merupakan salah satu usaha bagi memperkasakan Kelantan terhadap transformasi digital yang kini semakin berkembang seluruh dunia.

Aplikasi tersebut dibangunkan Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd yang berperanan melaksanakan program pembangunan industri teknologi maklumat dan komunikasi serta digital di Kelantan.

Aplikasi Kelantan Pay boleh dimuat turun dari Play Store dan Apps Store. – HARAKAHDAILY 15/9/2020

- Advertisement -