Hasil tahaluf PAS subur di pentas demokrasi

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS pernah bertahaluf dengan Parti Negara ketika menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) pada 1959 dan menang berganda di Kelantan dan Terengganu.

Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, hasil kerjasama itu PAS terus berkembang.

- Advertisement -

Bagaimanapun katanya selepas kerjasama itu akhirnya Parti Negara pula yang mati dalam pentas demokrasi di negara ini.

“PAS bertahaluf pula dengan Umno selepas berlaku peristiwa 13 Mei 1969 biarpun ramai yang menentang pada peringkat awal kerana kurang faham.

“Melalui kerjasama itu kita berjaya menambahkan lagi cawangan sehingga ke kawasan Felda,” katanya pada ucapan penggulungan pada Muktamar PAS kali ke-66 di PUTIK hari ini.

Menurutnya PAS juga pernah bekerjasama dengan Semangat 46 dan berjaya menawan semula Kelantan pada PRU 1990.

Sehingga sekarang usia kerajaan PAS di Kelantan melewati usia 30 tahun.

Kata beliau bagaimanapun Semangat 46 akhirnya tenggelam dan sebaliknya PAS terus kekal sehingga sekarang.

“Rahsia PAS terus kekal sehingga sekarang dalam persada politik di negara ini kerana terus istiqamah dalam perjuangan memartabatkan Islam.

“Saya percaya kalau kita tinggalkan perjuangan Islam kita akan tenggelam. Politik hendaklah dilakukan secara berhikmat biarpun pendekatan itu memgambil masa yang panjang,” katanya.

Beliau juga berkata, PAS terbabit bersama Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional bagi memastikan tidak berlaku pertandingan tiga penjuru.

Menurutnya juga sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru ia akan merugikan dan memberi kemenangan kepada pihak lawan.

Ucapan penangguhan Presiden mematuhi SOP ditetapkan di mana presiden mengakhiri ucapan sehingga jam 7.10 petang. Ia menepati jangkaan awal. – HARAKAHDAILY 13/9/2020

- Advertisement -