Hakisan Pantai Puteri makin kritikal

- Advertisement -

PANTAI KUNDOR: Satu persatu pokok tumbang dan kini Menara Angkatan Pertahanan Awam (APM) di Pantai Puteri menanti masa runtuh.

Malah kawasan parkir kenderaan berhampiran Pentas Budaya Pantai Puteri juga semakin retak.

- Advertisement -

Adun Pantai Kundor Dato’ Nor Azman Hassan berkata, kawasan berkenaan semakin terhakis teruk dalam sehari dua ini.

“Tahun-tahun sebelum ini pernah juga berlaku fenonema air pasang besar hingga melimpah ke jalan raya, namun tidak pula terjadi hakisan teruk seperti sekarang.

“Sekarang air sudah mula menghampiri jalan raya. Boleh dikatakan jarak hanya 10 meter sahaja. Saya bimbang kalau tiada tindakan segera diambil,” katanya yang ditemui wartawan Melaka Hari Ini selepas mengadakan tinjauan di pantai berkenaan semalam.

Beliau menganggap hakisan yang berlaku di Pantai Puteri sekarang di tahap kritikal memandangkan pokok rhu yang ditanam sejak 30 tahun lalu sudah banyak menyembah bumi.

Oleh itu, Nor Azman meminta pihak berwajib menyediakan pelan jangka pendek untuk mengatasi hakisan tersebut memandangkan gelombang air pasang besar dijangka berlaku lagi bulan ini dan Oktober nanti.

“Kerajaan negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran boleh meneliti kertas kerja untuk mengurangkan hakisan laut menggunakan kaedah ‘Geotube’ yang dianggarkan bernilai RM15 juta,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/9/2020

- Advertisement -